Banjir Baling: Redah 372 kilometer demi bantu mangsa

Adie Sufian Zulkefli
Julai 7, 2022 06:30 MYT
CEO Rakyat nekad menunggang motosikal dengan membawa pakaian terpakai disumbang kepada mangsa. - Astro AWANI
BALING: Dia bersendirian, hanya menunggang motosikal redah 372 kilometer dari Kelana Jaya dengan hanya satu tujuan; membantu mangsa kepala air di Kampung Iboi Kupang.
Eky Ekmarl Mahathir Mohamed, 42, yang diberi jolokan nama CEO Rakyat, nekad menunggang motosikal dengan membawa pakaian terpakai disumbang kepada mangsa.
Eky yang bekerja sebagai penghantar saman (freelance) di sebuah firma guaman di Selangor berkata, dia hanya mengetahui kejadian kepala air melalui laman sosial Facebook.
“Sebaik mengetahui saya terus pinjam duit RM50 daripada emak, Loretta Abd Aziz, 66, disebabkan wang upah kerja saya belum dapat.
“Kemudian saya terus mengumpul pakaian dan diikat pada motosikal skuter Honda ADV150 milik saya terus bergerak ke Baling,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menurut Eky, sebelum memulakan perjalanan, dia ada memuat naik di status WhatsApp dan ada pasangan suami isteri menyatakan hasrat untuk bersamanya untuk pergi ke Baling.
Katanya, sebaik tiba di Baling, dia dibantu penduduk kampung untuk membawanya ke lokasi yang paling teruk dibadai kepala air di Kampung Iboi.
Sebaik sampai saya terus menyampaikan pakaian yang dibawa untuk disumbangkan kepada mangsa.
Menurut Eky,, pakaian terpakai itu dikumpul hasil sumbangan penduduk di sekitar Kelana Jaya, Selangor dan kemudian diasingkan untuk dihantar kepada mangsa bencana alam.
"Segala keletihan saya pergi dan balik dibayar dengan senyuman mangsa, sebaik tangan yang saya hulur disambut dengan linangan air mata sebagai tanda terima kasih,” ujar Eky.
Dia turut berterima kasih kepada isteri Nor Haziqah Mohd Zaini, 32, dan dua anak, Puteri Irysha, 14, dan Orkid Nur Asyha kerana menyokong apa yang dilakukan kerana prihatin dengan nasib mereka yang ditimpa musibah.
#banjir #kepala air #Baling #bantuan
;