Banjir Baling: PPS Kampung Padang Empang ditutup

Sinar Harian
Julai 30, 2022 03:20 MYT
Penduduk Kampung Padang Empang sebelum ini ditempatkan di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Baling selepas kediaman mereka dinaiki air pada Khamis. - Foto fail/Astro AWANI
ALOR SETAR: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka akibat banjir di mukim Kupang, Baling, dekat sini, pada Khamis telah ditutup operasinya pada Sabtu.
PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, dekat sini, sebelum ini menempatkan 58 mangsa banjir daripada 19 keluarga yang terjejas dalam kejadian itu.
Penutupan PPS itu disahkan Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Dzulhaidy Mohd Khalil pada Sabtu.
Beliau berkata, PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang ditutup jam 10 pagi.
Beliau turut memaklumkan Jambatan Bailey di Kampung Iboi, Kupang di sini yang ditutup juga telah dibuka semula kepada semua pengguna pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 58 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir di Mukim Kupang di sini, pada Khamis.
BACA: Banjir Baling: Jumlah mangsa dipindahkan di PPS bertambah
Mereka terdiri daripada 19 keluarga dari Kampung Padang Empang.
Hujan lebat kira-kira jam 2 petang selama tiga jam menyebabkan paras air Sungai Kupang meningkat dan menyebabkan limpahan berlaku di beberapa rumah penduduk terutama yang terletak di tebing sungai. - Sinar Harian
#banjir #Baling #PPS #mangsa