Banjir Baling: Penduduk Kampung Iboi trauma setiap kali hujan lebat
Adie Sufian Zulkefli
Julai 29, 2022 15:24 MYT
Julai 29, 2022 15:24 MYT
BALING: Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Iboi menjadi trauma setiap kali hujan turun melebihi satu jam kerana bimbang bencana kepala air dan banjir lumpur berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Iboi, Abu Hasan Samah berkata, aliran arus sungai deras sehingga melimpah dan memasuki kediaman dalam kejadian banjir semalam dan awal bulan ini menyebabkan penduduk takut dan risau akan risiko yang bakal dihadapi mereka.
Katanya, antara kampung yang terkesan adalah Kampung Iboi, Lata Chelak, Padang Empang, Masjid Iboi, Bendang Padang, Bendang Bechah, Jerai, Hangus dan Bukit Hijau.
Kejadian itu turut mengakibatkan 300 penduduk daripada 75 keluarga terjejas apabila air setinggi 0.5 memasuki rumah mereka.
"Itulah kerisauan penduduk kampung masalah banjir yang berlaku pada 4 haribulan hari tu dan sekarang dengan kerana mereka berasa trauma dengan kolam air yang ada di atas walaupun pada pada semalam air tidak sebesar mana tetapi mereka bimbang dan risau apa yang berlaku masa 4 haribulan hari tu sebab kolam-kolam tu masih ada banyak lagi di atas sana yang menjadi takungan air jadi belum pecah lagi," katanya.
Jelas Abu Hasan, satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, dibuka bagi menempatkan 58 orang mangsa daripada 19 keluarga.
Kejadian itu turut meninggalkan kesan trauma kepada mangsa yang kini terpaksa berpindah di PPS.
Azidi Aziz, 43, berkata keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan dia sekeluarga menjadi takut dan akan bergegas mengambil dokumen penting dan terus keluar mencari tempat selamat.
"Bila hujan sahaja jadi macam trauma tengok air naik sikit sahaja kita simpan-simpan nak keluarlah," katanya.
Sementara itu, Rosnah Osman, 59, berkata kejadian 4 Julai lalu meninggalkan kesan yang amat mendalam baginya kerana kejadian itu berlaku di depan matanya.
Katanya, dia terus berpindah ke PPS sebaik diarahkan pihak Bomba yang datang ke rumahnya pada jam 10 malam.
Dia akur demi keselamatan keluarganya bagi mengelak kejadian kali kedua berulang.
"Saya takut, malam tadi mereka suruh lari jadi saya lari lah takut, APM masuk Bomba suruh lari takut jadi macam kejadian 4 haribulan dulu kejadian di depan mata 4 haribulan tu saya tengok sendiri air bergulung-gulung jadi trauma ngeri," katanya.
Hujan lebat lebih satu jam pada petang Khamis mengakibatkan kejadian kepala air dan banjir lumpur sekali lagi berlaku di Kampung Iboi.
Dalam kejadian yang sama 4 Julai lalu tiga mangsa dari satu keluarga maut selepas rumah mereka dibawa arus.