Banjir Baling: Pejabat PM arah KeTSA ketuai agensi siasatan

Bernama
Julai 18, 2022 20:11 MYT
Takiyuddin berkata pihaknya baru menerima arahan berkenaan daripada Pejabat Perdana Menteri melalui Pejabat Setiausaha Negara. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan mengetuai agensi-agensi berkaitan bagi menjalankan siasatan berhubung kejadian banjir di Baling, Kedah baru-baru ini.
Menteri berkenaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pihaknya baru menerima arahan berkenaan daripada Pejabat Perdana Menteri melalui Pejabat Setiausaha Negara.
"Munasabahnya kerana di bawah KeTSA ini ada banyak jabatan yang berkaitan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Perhilitan dan pelbagai jabatan lain yang berkaitan.
"Ini akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) tetapi agensi penerajunya adalah KeTSA," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Banjir Baling: Kertas Putih akan dibentang jika perlu - Takiyuddin
Katanya beliau akan memastikan hasil siasatan berhubung kejadian itu akan diisytihar dan disiarkan secepat mungkin kepada orang ramai.
Banjir di Baling pada 4 Julai lepas menjejaskan 41 kawasan dan mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun.
Berhubung cadangan pembentangan Kertas Putih mengenai tragedi itu yang dibangkitkan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera), Takiyuddin berkata tiada halangan bagi kerajaan untuk membuat dan membentangkannya di Parlimen.
"Sekarang ini prosesnya (adalah) siasatan awal, preliminary investigation. Kalau sekiranya siasatan ini menunjukkan perlunya Kertas Putih, kerajaan tidak ada halangan...saya akan pastikan perkara ini," katanya.
Terdahulu, Takiyuddin ketika membentangkan Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) bagi bacaan kali kedua berkata ia bertujuan mengawal proses pewartaan keluar dan penggantian Hutan Simpanan Kekal, memantapkan penguatkuasaan hutan bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran, selain meningkatkan kadar denda dan hukuman serta penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan yang merosakkan alam sekitar
Ia juga bagi mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas serta menambah baik jadual yang terdapat dalam akta bagi memantapkan lagi pengurusan dan penguatkuasaan perhutanan.
Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 itu kemudian diluluskan Dewan Rakyat secara sebulat suara.
Tragedi Baling | Sanusi jawab pembangkang, tahu siapa terlibat
#banjir baling #ketsa #pejabat perdana menteri #Takiyuddin Hassan
;