Banjir Baling: Mangsa reda tiada sambutan Hari Raya Aidiladha

Adie Sufian Zulkefli
Julai 7, 2022 13:01 MYT
Antara kediaman di Kampung Iboi, Kupang, Baling yang rosak teruk akibat dilanda banjir dan kepala air pada Isnin lalu.
BALING: Ketika sebilangan besar umat Islam teruja menantikan kedatangan sambutan Hari Raya Aidiladha pada Ahad ini, berbeza pula dengan penduduk di Kampung Iboi dan Kampung Hangus, dekat Kupang di dalam daerah Baling.
Tragedi banjir dan kepala air yang melanda kampung itu awal minggu ini memusnahkan harapan dan persiapan mereka untuk menyambut hari raya korban kerana terdapat kediaman beberapa penduduk yang lenyap dari pandangan.
Menurut Rusni Ahmad, 46, seperti kelazimannya menyambut Hari Raya Aidiladha, dia akan menyiapkan persalinan baharu untuk diri sendiri dan anak-anak.
Namun, kali ini, Rusni berputih mata kerana tiga pasang baju kurung yang sudah disiapkan hilang entah ke mana.
“Tiada apa yang tinggal, saya jahit baju raya sendiri tetapi semuanya hilang dihanyutkan air bersama barangan kelengkapan rumah. (Saya) sedih kerana tidak sempat pakai (baju kurung).
“(Bila) kembali ke rumah petang semalam, barang perkakasan rumah tidak boleh digunakan lagi ditenggelami lumpur… (hari) ini ada ramai yang datang bantu bersihkan rumah,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui.
Rusni, bagaimanapun, bersyukur kerana suaminya, Md Zain Junus, 48, bersama dua anaknya berusia antara 12 dan 14 tahun sempat panjat ke atas bumbung untuk menyelamatkan diri sementara menunggu bantuan tiba pukul 9 malam.
Menyingkap kembali kejadian yang berlaku pukul 5.45 petang itu, Rusni mencerityakan dia tiada di rumah kerana sedang bekerja di kedai makan sebelum dimaklumkan oleh jiran rumahnya terkena kepala air.
Kata Rusni, kejadian tersebut paling buruk berlaku sepanjang 40 tahun dia tinggal di Kampung Hangus.
Seorang lagi mangsa, Awiyah Abdul Hamid, 67, berkata, tragedi itu berlaku sekelip mata dan dia bersama dua anaknya sempat bergegas ke tingkat atas rumah untuk berlindung.
Katanya, sebelum ini rumahnya di Kampung Iboi sering dinaiki air tetapi tidak seteruk kejadian Isnin lalu kerana biasanya air hanya masuk ke paras buku lali.
Awiyah juga telah membuat pengubahsuaian dengan meninggikan lantai rumahnya, namun, jangkaannya meleset apabila kepala air yang datang membadai rumahnya.
Apa yang membuatkan dia bersedih juga ialah segala dokumen diri dan surat penting hilang dihanyutkan arus dan kini tiada apa yang tinggal buat tiga beranak ini.
“Kad pengenalan hilang, semua barang kelengkapan rumah tidak boleh digunakan lagi… (waktu) kejadian saya ada di dalam rumah sedang kumpul barang-barang penting untuk disimpan.
“(Saya) sangkakan air tidak akan naik sampai ke atas rumah kerana selalunya air masuk di bahagian dapur sahaja kerana kedudukannya agak rendah berbanding di atas (saya) tinggikan rumah untuk selamatkan diri dan barang tetapi kejadian kali ini luar jangkaan ia datang seperti tsunami,” cerita Awiyah.
Berikutan tragedi itu, Awiyah kini ditempatkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai.
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di lokasi kejadian mendapati sumbangan mula diterima daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan agensi kerajaan.
Antara bantuan yang dihantar kepada mangsa ialah pakaian, barangan keperluan seperti tilam, bantal, tikar serta makanan.
#banjir baling #hari raya aidiladha #mangsa banjir Baling #Kampung Iboi
;