Banjir Baling: Mangsa banjir di Kampung Iboi dipindahkan ke tempat selamat
Adie Sufian Zulkefli
Julai 28, 2022 22:34 MYT
Julai 28, 2022 22:34 MYT
BALING: Tiga keluarga mangsa banjir kilat di Kampung Iboi dipindahkan ke tempat selamat berikutan paras air Sungai Iboi mula melimpah memasuki kediaman penduduk.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling tiba di lokasi pada jam 8 malam tadi dan memulakan kerja pemindahan mangsa ke tempat selamat.
Katanya, paras air di Sungai Iboi meningkat setinggi 0.8 meter ditambah keadaan air deras serta dibimbangi keselamatan mangsa terancam.
“Ketika ini seramai tujuh anggota di tempatkan di Kampung Iboi bagi melakukan pemantauan.
“Bilangan anggota akan ditambah sekiranya paras air meningkat dan melimpah ke kediaman penduduk bagi menguruskan kerja-kerja pemindahan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Hujan lebat hampir satu jam pada petang Khamis mengakibatkan kejadian kepala air dan banjir lumpur sekali lagi berlaku di Kampung Iboi.
Kejadian itu mengakibatkan tiga mangsa dari satu keluarga terpaksa dipindahkan ke tempat selamat berikutan air memasuki kediaman mereka.