Banjir Baling: Lelaki rakam gambar terperangkap air naik mendadak
Adie Sufian Zulkefli
September 6, 2022 23:21 MYT
September 6, 2022 23:21 MYT
BALING: Seorang lelaki yang dipercayai leka merakam gambar keadaan banjir di Kampung Iboi dekat Kupang, di sini, berdepan detik cemas apabila terperangkap selepas air di kawasan itu naik mendadak.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Baling dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 6 petang.
“Sebaik tiba kita dapati lelaki berusia 40-an itu sedang terperangkap di tengah kawasan banjir.
“Mangsa bernasib baik kerana tempat dia berada itu tinggi sedikit dan anggota berjaya mengeluarkan mangsa dari kawasan arus deras,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI malam ini.
Mohamadul Ehsan memaklumkan, anggota turut menyelamat seorang lelaki warga emas dengan memindahkannya ke tempat selamat di Kampung Padang Empang.