Banjir Baling: Ladang durian Musang King bukan puncanya - MB Kedah
Abd Hadi Che Awang
Ogos 3, 2022 14:00 MYT
Ogos 3, 2022 14:00 MYT
BALING: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa projek penanaman durian Musang King di Gunung Inas tidak menjadi punca kepada berlakunya tragedi banjir dan kepala air di beberapa buah kampung sekitar Kupang, Baling, 4 Julai lalu.
Menurut beliau, ia selepas pihaknya meneliti laporan yang dikemukakan pakar-pakar dari pelbagai agensi yang terlibat dalam menyiasat punca kejadian yang diketuai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).
Tambahnya, dakwaan-dakwaan yang mengaitkan projek Musang King sebagai punca kejadian disifatkan sebagai usikan daripada 'netizen' tanpa mengemukakan fakta yang tepat termasuk kejadian banjir kilat di beberapa kampung di Mukim Baling, pada Selasa.
"Kalau ikut (jawapan akhir daripada) pakar-pakar yang mengemukakan laporan kepada agensi yang diketuai oleh KeTSA, (kejadian banjir dan kepala air bulan lalu), tidak disebabkan (atau berpunca daripada projek) Musang King.
"(Sebenarnya) kolam Musang King (di Gunung Inas) tidak pecah, itu (adalah) usikan-usikan daripada 'netizen' dan orang ramai, (untuk) mengusik orang ramai dengan fakta yang tidak benar, semua (benda) nak menghala ke situ, kesian kat (Gunung Inas), (pasal banjir kilat semalam) itu, (puncanya) tidak dapat dipastikan lagi.
"Itu menteri cakap (berkenaan kolam takungan pecah), maka kena tanya menteri itu, (seingat saya) dia kata kemungkinan, ayat awal dia (ada) istilah kemungkinan tetapi tidak ada sesiapa pun (sebut) tentang kemungkinan, semua ambil selepas daripada kemungkinan," katanya.
Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mangsa Banjir Tragedi Kepala Air Lata Celak Kampung Iboi di Desa KEDA Kampung Sadek, Kupang di sini pada Rabu.
18 Julai lalu, Sanusi mempersoalkan tentang keluasan sebuah kolam takungan bagi projek durian Musang King yang pecah dan disahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebagai punca kejadian banjir di beberapa kampung sekitar Kupang, 4 April lalu.
Perkara itu timbul selepas melihat kesan besar akibat tragedi itu termasuk arus deras yang memusnahkan 17 buah rumah secara keseluruhan dengan faktor hujan yang dikatakan tidak terlalu lebat pada hari kejadian.
Terdahulu, KASA tidak menolak kemungkinan kolam takungan yang dibina berdekatan puncak Gunung Inas menjadi punca kepada kejadian banjir dan kepala air di Baling, Kedah baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, itu merupakan antara beberapa punca yang dikesan hasil kajian awal yang dilaksanakan oleh kementerian tersebut.
Tambah Tuan Ibrahim, keadaan itu diperkukuhkan lagi dengan berlaku peningkatan kadar air antara 0.2 meter dan 3.0 meter di kampung-kampung terlibat.