Banjir Baling: KUSKOP kenal pasti usahawan, syarikat PKS terjejas
Sinar Harian
Julai 9, 2022 06:40 MYT
Julai 9, 2022 06:40 MYT
TANJONG KARANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang mengenal pasti usahawan terjejas banjir di Baling, Kedah untuk menyerahkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) yang dijadualkan pada Khamis depan.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kementeriannya sudah mengarahkan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk proses pengumpulan data maklumat usahawan terlibat.
"Kita sedang dapatkan maklumat dan akan turun memberi sumbangan kepada usahawan terjejas dalam kejadian ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Bencana Parlimen Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang sini pada Sabtu.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, semua usahawan informal dan mikro akan menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM3,000.
"Syarat bantuan ini kita beri sama seperti mangsa banjir di seluruh negara iaitu pegawai akan turun padang untuk membuat pengesahan dan usahawan mestilah membuat laporan polis tentang kejadian banjir," ujarnya.
Selain itu, katanya, tumpuan sumbangan juga terarah kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM100,000 dengan moratorium selama setahun.
Mengulas mengenai bantuan Wang Ihsan Bencana Parlimen Tanjong Karang, Noh berkata, sebanyak 224 rumah mangsa ribut dengan peruntukan kira-kira RM400,000 menerima sumbangan terbabit.
Katanya, penilaian rumah yang mengalami kerosakan akibat ribut membabitkan tiga kategori iaitu teruk, sederhana dan kecil.
"Dalam masa sama, kita juga turut menyerahkan tiga rumah yang dibina baharu untuk asnaf zakat Bank Rakyat bernilai RM195,000," katanya.
Ujar beliau, bencana ribut sering melanda Tanjong Karang pada saban tahun disebabkan kawasan itu adalah laluan angin.
"Kita sudah selesaikan rumah yang rosak teruk terutama bumbung tercabut dan pada hari ini dua lagi kategori iaitu kerosakan kecil dan sederhana untuk dibantu," jelasnya. -Sinar Harian