Banjir Baling: Kerugian bencana 4 Julai dianggarkan RM28 juta - Sanusi

Abdul Hadi Che Awang
September 14, 2022 16:27 MYT
Anggran kerugian itu adalah melibatkan kemusnahan rumah, premis perniagaan, infrastruktur yang rosak, kenderaan, serta harta benda yang lain. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan bahawa anggaran kerugian yang dialami susulan kejadian banjir dan kepala air yang berlaku buat kali pertama di sekitar Kupang, Baling, 4 Julai lalu adalah sekitar RM28 juta.
Menurutnya, anggaran itu adalah melibatkan kemusnahan rumah, premis perniagaan, infrastruktur yang rosak, kenderaan, serta harta benda yang lain.
Jelas beliau, jumlah yang dianggarkan itu dibuat berdasarkan penilaian Jawatankuasa Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Baling ke atas lebih 900 buah rumah yang terlibat.
"Kejadian pertama (kerugiannya adalah) RM28 juta, (itu) yang dianggarkan oleh Jawatankuasa PKOB yang diwujudkan Pejabat Daerah, kita (telah) buat banci lantik 80 pembanci yang turun di setiap rumah.
"Berdasarkan laporan polis yang ada lebih 900 (buah rumah), kemudian (ada yang) datang lagi (buat) laporan yang kedua, kadang-kadang ada yang bertindan, (semua) pembanci ini turun, anggaran kita (dibuat berdasarkan) infrastruktur rumah, kediaman, kenderaan harta benda RM28 juta, kali kedua tak ada anggaran, tak dapat angka dia lagi," katanya.
Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.
Tambahnya, kerajaan negeri juga ketika ini sudah memulakan proses pengambilan tanah di Kampung Seniyek, Baling bagi pembinaan rumah buat penduduk yang tinggal di zon kuning sepanjang jajaran Sungai Kupang.
Mengulas mengenai kerosakan berlaku pada Jambatan Bailey Kampung Iboi pada 30 Ogos lalu, beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah selesai melakukan kerja meninggikan struktur satu meter daripada kedudukan asal, Ahad lalu.
Banjir Baling | Insiden mirip bencana di Gunung Jerai, Sungai Lui
Kata Sanusi, kerja meninggikan struktur itu perlu dibuat bagi memastikan sisa kayu dan sampah yang dibawa arus Sungai Kupang dapat mengalir di bawah jambatan ketika cuaca hujan lebat.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga sedang melakukan kerja mendalamkan semula sungai ke kedalaman asal kira-kira tiga meter.
Beliau berkata, kerja-kerja mengeluarkan pasir juga telah dilakukan secara berterusan dalam usaha memastikan bencana kepala air dan banjir kilat tidak berulang selain tidak menjejaskan kehidupan penduduk.
#banjir baling #Muhammad Sanusi Md Nor #anggaran kerugian #kepala air
;