Banjir Baling: Kerajaan Kedah tanggung bayaran sewa enam bulan

Abd Hadi Che Awang
Julai 6, 2022 18:32 MYT
Kerajaan negeri Kedah akan menanggung sepenuhnya pembayaran sewa rumah melibatkan keluarga yang kehilangan rumah masing-masing dalam kejadian banjir dan kepala air di Baling pada Isnin, kata Muhammad Sanusi Md Nor.
BALING: Kerajaan negeri Kedah akan menanggung sepenuhnya pembayaran sewa rumah melibatkan keluarga yang kehilangan rumah masing-masing dalam kejadian banjir dan kepala air yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Kupang, Baling pada Isnin.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebanyak 15 buah rumah penduduk dilapor dihanyutkan arus deras sementara 14 kediaman lain memerlukan proses baik pulih yang besar.
Bagaimanapun, kata beliau, jumlah rumah yang mengalami kerosakan kecil masih lagi dalam proses bancian.
"Kerajaan negeri telah memutuskan (untuk) menyediakan penempatan sementara bagi keluarga yang hilang tempat tinggal, (kesemua bayaran sewa kesemua mereka) selama enam bulan (ditanggung kerajaan negeri).
"Kita akan sewa rumah untuk mereka tempatkan keluarga dan barangan yang sempat diselamatkan, kerajaan akan bayar sewa itu," kata Menteri Besar dalam sidang media selepas mempengerusikam Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah di Pejabat Daerah dan Tanah di sini, pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi berkata, pergerakan sukarelawan yang datang ke daerah Baling untuk misi bantuan akan dipusatkan di Bilik Gerakan, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
Tindakan itu, jelas beliau, dibuat bagi memastikan proses penyaluran bantuan dilaksanakan dalam keadaan teratur selain kesemua penduduk dari 12 kampung yang terjejas akan menerima bantuan berkenaan.
Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan awal kepada mangsa banjir di Baling, Kedah dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
Kata Ismail Sabri, bantuan awal kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) itu meliputi Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000; bantuan barang keperluan asas sebanyak RM2,500; bantuan barangan elektrik sebanyak RM500 dan pembaikan rumah.
#banjir baling #sewa enam bulan #kerajaan Kedah tanggung #Menteri Besar Kedah
;