Banjir Baling: Kerajaan Kedah sediakan rumah sementara untuk mangsa hilang kediaman
Bernama
Julai 5, 2022 18:48 MYT
Julai 5, 2022 18:48 MYT
BALING: Kerajaan Negeri Kedah akan membantu menyediakan penempatan sementara bagi menempatkan penghuni daripada sembilan rumah yang musnah dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di Kupang dekat sini, semalam.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri akan menyewa beberapa rumah untuk didiami, sementara mangsa terlibat dapat mengusahakan membina rumah baharu di tapak yang selamat.
"Keseluruhannya ada 627 mangsa banjir daripada 12 kampung dilaporkan terjejas. Sembilan rumah hanyut sama sekali, hanya tinggal tapak, lima buah rumah rosak teruk manakala selebihnya dimasuki air dan mengalami kerosakan harta benda.
"Untuk sembilan rumah itu, Kerajaan Negeri akan bantu sediakan penempatan sementara, sewakan beberapa rumah untuk didiami sementara nak usahakan gantian," katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Ibor dekat sini, hari ini.
Beliau berkata pembinaan rumah baharu di tapak asal rumah yang dihanyutkan adalah tidak selamat memandangkan sungai yang sebelum ini dalam, telah menjadi cetek.
"Gantian rumah akan dibuat sekiranya mereka ada tapak lebih selamat, kalau tidak ada tapak lain, kena tunggu kerana kita bimbang kalau didirikan rumah di tapak asal, sungai sudah cetek, kalau berlaku aliran deras, limpahan akan berlaku lebih banyak.
"Kawasan yang teruk dibadai kepala air dahulunya dalam, tak boleh turun, tapi sekarang sama paras dengan jalan," katanya.
Sementara itu Muhammad Sanusi berkata agensi-agensi kerajaan turut membuat penilaian mengenai kerosakan fizikal kepada infrastruktur yang terjejas kawasan dilanda banjir.
"Antara yang dikenal pasti setakat ini ialah kerosakan jambatan yang menghubungkan Kampung Ibor dengan Kampung Bendang Bechah, jambatan itu terputus sama sekali, jalan-jalan juga banyak yang rosak," katanya.
Sementara itu katanya dua kawasan tadahan iaitu yang dibina oleh pengusaha tanaman durian untuk mengairi tanaman serta kawasan tadahan yang dibina oleh penduduk kampung untuk bekalan air masyarakat, masih ada di atas Gunung Inas.
"Saya telah melihat gambar yang diambil oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), masih ada tanda-tanda air yang dibina oleh penduduk untuk bekalan air masyarakat dan tanda air yang digunakan oleh pengusaha tanaman durian, tidak pecah.
"Ini bermaksud aliran air yang membentuk kepala air itu adalah air yang terkumpul dari alur-alur di Gunung Inas dan telah mengalir serentak ke bawah, fenomena ini menyamai apa yang berlaku di Gunung Jerai tahun lepas," katanya.
Muhammad Sanusi turut menasihati penduduk sekitar agar mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat akan turun di kawasan sama petang ini.
"Saya menasihatkan penduduk di sekitar kawasan Kupang, terutamanya yang berhampiran sungai untuk mengambil langkah berjaga-jaga, berhati-hati, kerana kita bimbang hujan lebat akan menyebabkan berlaku lagi limpahan air," katanya.
-- BERNAMA