Banjir Baling: KASA perlu pindahkan tolok hujan ke puncak Gunung Inas - Sanusi

Abd Hadi Che Awang
September 8, 2022 15:10 MYT
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor gesa Kementerian Alam Sekitar dan Air digesa untuk mengalihkan lokasi perletakan tolok hujan yang kini dipasang di kaki Gunung Inas ke kawasan yang lebih tinggi. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) digesa untuk mengalihkan lokasi perletakan tolok hujan yang kini dipasang di kaki Gunung Inas ke kawasan yang lebih tinggi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi memastikan bacaan jumlah hujan dapat diperoleh dengan lebih tepat.
Menurutnya, peralihan lokasi perletakan tolok hujan itu juga bagi memastikan persediaan awal dapat dilakukan penduduk terutama di sekitar Kampung Iboi, Kupang susulan beberapa kejadian banjir kilat dan banjir lumpur yang berlaku.
Beliau turut mengesahkan bahawa jambatan jenis Bailey yang dipasang di kampung itu telah berganjak dari kedudukan asal akibat dilanda arus deras dalam kejadian banjir pada Selasa.
"Hujan lebat berlaku berterusan di Baling, aliran itu sudah ada, cuma (bercampur dengan) aliran telah tersedia, (air yang turun) itu tidak berpecah lagi, dia turun memang menghala ke situ.
"Saya juga difahamkan proses mendalamkan sungai di Kampung Iboi sedang dilakukan tetapi belum siap sebab itu ia menyebabkan aliran air dia sebak (terkumpul) di 'Bailey Bridge' dan jambatan itu tergantung sekarang ini, tinggal di tengah (sahaja) bahagian tepi kiri kanan sudah putus,
"Bacaan tidak tepat kerana tolok hujan berada di bawah, maka anggaran hujan tak dapat dibuat, anggaran berapa hujan berlaku di Gunung (Inas juga tidak dapat dibuat), saya harap lepas ini, jabatan berkaitan iaitu KASA (dapat pastikan) untuk tolok hujan berada di atas (Gunung Inas)," kata beliau lagi.
Menteri Besar Kedah itu berkata demikian kepada penberita ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Kedah sempena Sukan Malaysia (SUKMA) di Dewan Seri Mentaloon, di sini, pada Khamis.
Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata, jambatan yang menghubungkan Kampung Iboi dan Kampung Masjid Iboi itu ditutup untuk semua kenderaan berikutan mengalami kerosakan struktur serta dikhuatiri tidak selamat digunakan.
Menurutnya, jambatan itu berganjak lebih dua meter daripada kedudukan asal selain permukaan lantai jambatan juga terjejas.
#banjir baling #Gunung Inas #tolok hujan #pindah tolok hujan
;