Banjir Baling: Jasad 3 sekeluarga serta janin selamat dikebumikan

Abdul Hadi Che Awang
Julai 5, 2022 07:40 MYT
Jenazah selamat dikebumikan kira-kira jam 5.30 pagi pada Rabu. -Astro AWANI/Abd Hadi Che Awang
BALING: Tiga sekeluarga yang ditemui maut dalam tragedi banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang di sini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charuk Bemban awal pagi tadi.
Jenazah Salmah Mat Akib, 54, menantunya Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang hamil empat bulan dan anaknya Khairul Ikhwan Nor Azman, 14 selesai dikebumikan kira-kira jam 5.30 pagi pada Rabu.
Turut dikebumikan, janin yang dikandung Nurul Anis.
Terdahulu, kesemua jenazah disolatkan di Surau Al-Istiqamah, Kampung Charuk Bemban selepas tiba dari Hospital Kulim sekitar jam 4.25 pagi.
Suasana hiba menyelubungi kalangan yang hadir apabila suami Nurul Anis, Muhammad Khairul Asyraf Nor Azman, 24, membawa janin anaknya yang berusia empat bulan memasuki Surau Al-Istiqamah untuk disembahyangkan.
Jenazah Nurul Anis bersama janinnya kemudiannya dikebumikan didalam satu liang lahad manakala dua lagi jenazah dikebumikan dalam liang lahad yang berasingan.
Pada Selasa, mayat Nurul Anis dan ibu mertuanya, Salmah Mat Akib yang hilang dalam kejadian kepala air dan banjir ditemui dalam keadaan berpelukan kira-kira jam 9.30 pagi.
Mayat ketiga, Khairul Ikhwan pula ditemui dibawah timbunan pokok tidak jauh dari kedudukan ibu dan kakak iparnya sekitar jam 11.55 pagi.
BACA: Banjir Baling: Mayat wanita hamil, ibu mertua ditemukan berpelukan
Banjir | Mayat wanita hamil dan ibu mentua ditemukan berpelukan
Kejadian banjir di Baling pada Isnin berlaku berikutan hujan lebat berterusan selama tiga jam sejak 2 petang sehingga menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk.
#banjir baling #tragedi banjir dan kepala air #Salmah Mat Akib #Nurul Anis Abu Hassan
;