Banjir Baling: Jambatan Bailey mula dibina
Astro Awani
Julai 7, 2022 19:29 MYT
Julai 7, 2022 19:29 MYT
KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembinaan jambatan Bailey yang menghubungkan Kampung Iboi dan Kampung Masjid Iboi, Baling di Kedah telah dimulakan bagi menggantikan jambatan yang roboh akibat banjir kilat dan tragedi kepala air, Isnin lepas.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pembinaan jambatan mudah alih itu dilakukan oleh petugas Jabatan Kerja Raya Malaysia dan dibantu oleh anggota-anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
"Jambatan ini cukup penting sebagai laluan perhubungan sementara terutama bagi memudahkan penduduk Kampung Iboi dan Kampung Masjid Iboi menjalankan urusan seharian.
"Terima kasih JKR dan semua pihak yang tampil membantu," katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.
Semalam, Hishammuddin memaklumkan telah mengarahkan RAJD untuk melakukan tinjauan bagi kerja-kerja pembinaan jambatan berkenaan secepat mungkin.
Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang Isnin lepas, banjir dan fenomena kepala air mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan, selain 15 rumah musnah dihanyutkan arus deras.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak menolak kemungkinan beberapa kolam takungan air paip masyarakat (tandak takungan) yang didapati pecah, dipercayai menyumbang kepada pembentukan kepala air.
#Banjir kilat Baling Kedah
#Punca banjir Baling
#Kematian banjir Baling
#berita hari ini
#jambatan bailey