Banjir Baling: Jambatan Bailey dibuka semula kepada penduduk Kampung Iboi

Adie Sufian Zulkefli
Julai 29, 2022 16:04 MYT
Jambatan Bailey selamat digunakan dan dibuka semula pada petang Jumaat. - Astro AWANI
BALING: Jambatan Bailey selamat digunakan dan dibuka semula pada petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, selepas mendapati paras air Sungai Iboi mulai surut dan selamat digunakan ia telah dibuka semula pada jam 6 perang.
“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat pemantauan dan pemeriksaan dan mendapati struktur jambatan masih kukuh dan selamat untuk digunakan.
“Semua jenis kenderaan juga dibenarkan menggunakan jambatan yang menghubungkan penduduk Kampung Iboi dan Kampung Masjid Iboi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Malam tadi, jambatan itu terpaksa ditutup selepas air Sungai Kupang mengalir deras dan melimpah sehingga naik ke atas jambatan.
BACA: Banjir Baling: Air naik lagi di Kampung Iboi
BACA: Banjir Baling: Mangsa banjir di Kampung Iboi dipindahkan ke tempat selamat
BACA: Banjir Baling: Penduduk Kampung Iboi trauma setiap kali hujan lebat
Penutupan jambatan terpaksa dilakukan kerana pihak polis bimbang tahap keselamatan penduduk sekiranya menggunakan jambatan terbabit.
Sementara itu, Shamsudin turut mengingatkan penduduk yang terjejas banjir supaya tidak perlu bimbang keselamatan rumah dan harta benda mereka kerana Unit Rondaan Bermotor (URB) kerap membuat rondaan supaya tidak berlaku jenayah kecurian di kawasan berkenaan.
#jambatan bailey #dibukan semula #banjir baling #Kampung Iboi #Sungai Iboi #Polis Daerah Baling #JKR