Banjir Baling: Hujan lebat lebih dua jam akibatkan Sungai Sedim melimpah

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 26, 2022 00:07 MYT
Hujan lebat berterusan menyebabkan air Sungai Sedim melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing. - Gambar/ APM
ALOR SETAR: Hujan lebat berterusan sejak petang mengakibatkan beberapa kawasan di daerah Baling sekali lagi dilanda banjir kilat pada Rabu malam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata air melimpah memasuki rumah penduduk dua mukim terjejas iaitu Mukim Bakai dan Teloi Kanan bermula kira-kira jam 7 malam.
“Hujan lebat berterusan menyebabkan air Sungai Sedim melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing.
"Sebanyak 73 buah rumah dinaiki air sedalam 0.5 sehingga satu meter.
“Setakat jam 9.30 malam hujan masih turun namun tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di buka," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohd Faizol berkata, anggota APM telah berada di kawasan terjejas bagi melakukan pemantauan dan memindahkan mangsa sekiranya banjir memburuk.
#banjir kedah #banjir baling #Sungai Sedim #banjir kilat
;