Banjir Baling: Hujan berterusan, jumlah mangsa dipindahkan meningkat
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 3, 2022 11:00 MYT
Ogos 3, 2022 11:00 MYT
BALING: Hujan berterusan lewat malam sehingga pagi Rabu menyebabkan lebih ramai mangsa banjir kilat di Baling dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini, sehingga jam 9 pagi.
Timbalan Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Dzulhaidy Khalil berkata, seramai 34 mangsa daripada sembilan keluarga kini ditempatkan PPS di Sekolah Kebangsaan Tunku Puan Habsah dan di Dewan Tun Abdul Razak.
“Semua mangsa dipindahkan sejak tengah malam sehingga awal pagi tadi apabila Sungai Baling melimpah.
“Mereka diarah berpindah apabila air semakin naik dan bimbang berlaku kejadian buruk.
“Pemantauan dilakukan anggota APM mendapati paras air melebihi satu meter memasuki kediaman penduduk,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Dzulhaidy berkata, antara kampung yang terjejas adalah Kampung Batu Tujuh Rambong, Telok Sanau, Charok Juan dan Bendang Sera.
Katanya, langkah berjaga-jaga telah diambil semua agensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir memburuk berikutan hujan masih turun di daerah Baling sehingga kini.