Banjir Baling: Harap bantuan tidak tertumpu di Kg Iboi - Mangsa

Abd Hadi Che Awang
Julai 8, 2022 02:30 MYT
Keadaan rumah yang masih belum dibersihkan susulan banjir kilat di Baling. - Astro AWANI
BALING: Kejadian banjir dan kepala air yang berlaku di sekitar Kupang, Baling telah memberi kesan kepada lebih 1,000 penduduk daripada 12 buah kampung.
Namun, kebanyakan bantuan khususnya dari segi tenaga bagi proses pembersihan rumah mangsa, pascakejadian berkenaan didakwa banyak tertumpu kepada Kg Iboi.
Sehubungan itu, tinjauan Astro AWANI di Kampung Tanjung mendapati kebanyakan rumah penduduk yang dilanda banjir lumpur masih belum siap dibersihkan sepenuhnya.
Mereka juga berharap agar orang ramai yang hadir terlibat secara langsung untuk membantu penduduk dan bukan hanya sekadar 'suka-suka'.
"Nak kata bersih tu tak bersih lagi sebab banjir ini bukan air, dia mai sekali lumpur.
"Kalau tahun 2006 setakat buku lali, ini mai dalam, dan paras dada.
"Orang luar kalau nak mari itu jangan mari buat jam dekat jalan, mari tolong sodok (buang) tanah yang tebal-tebal itu sebab banjir ini banjir lumpur," kata seorang sukarelawan, Mohamad Affan Abdullah.
Bagi anak perantau yang betugas di Kuala Lumpur, Azwar Kamaruzaman, 28, memaklumkan, dia terpaksa pulang lebih awal berbanding tarikh asal sempena cuti sambutan Hari Raya AidilAdha.
Keputusan itu dibuat selepas melihat sendiri rakaman video kejadian yang berlaku di Kg Tanjung yang dilanda banjir lumpur, di mana ianya disifatkan sebagai yang terburuk di dalam sejarah.
"Setakat ini proses pembersihan lancar cuma kami perlukan manpower, tenaga, kudrat daripada sukarelawan sekarang ini.
"Harapan saya tak banyak, saya harap rakyat Malaysia yang nak membantu datanglah bantu di Kg Tanjung, dan beberapa kampung lain yang saya dapat tahu, ada masih lagi tidak dapat bantuan langsung dari segi makanan, tenaga dan sebagainya sebab jauh dari kawasan tumpuan.
"Jadi orang Malaysia datanglah bantu mereka ini sebab mereka kurang berkemampuan, warga emas, anak-anak duduk jauh, dan proses pembersihan perlukan tenaga anda semua," katanya.
Sementara itu, beberapa penduduk dari kalangan warga emas di kampung berkenaan berharap agar orang ramai dapat turun sendiri membantu mereka membersihkan rumah, pascakejadian khususnya dari segi kudrat dan tenaga.
Mereka juga mencadangkan sukarelawan yang hadir turut turun ke beberapa perkampungan yang terletak di kawasan terpencil seperti Kg Tanjung dan Kg Sadek.
"Tak pernah jadi seumur hidup, ini pertama kali, paras pinggang, keluar terus sehelai sepinggang tak boleh ambil apa-apa.
"Sekarang ini ada dalam 50 peratus, itu pun jiran, adik-beradik, NGO tolong, kalau harap Mak Teh tak boleh, sakit lutut. InsyaAllah sapa-sapa nak bantu silakan, memang perlukan bantuan," kata seorang warga emas dan juga mangsa banjir, Zalekho Saad.
Pada Khamis, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, memaklumkan sebanyak 627 laporan diterima pihak polis membabitkan kerosakan premis dan rumah penduduk susulan kejadian banjir dan kepala air yang berlaku di 12 perkampungan di Kupang, Baling, pada Isnin.
Menurutnya, kesemua laporan berkenaan diterima di empat buah kaunter yang dibuka di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai sejak malam pertama kejadian berkenaan.
#banjir #mangsa #bersihkan rumah #Kg Iboi