Banjir Baling: Gunung Inas tidak berada dalam kawasan berisiko - Takiyuddin
Abd Hadi Che Awang
Julai 7, 2022 15:12 MYT
Julai 7, 2022 15:12 MYT
BALING: Gunung Inas tidak berada dalam senarai kawasan yang berisiko berlakunya bencana alam seperti banjir dan kepala air.
Sehubungan itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan, kejadian yang berlaku pada Isnin lalu sesuatu yang tidak dijangka atau 'natural disaster'.
Beliau memaklumkan, ketika ini, dua jabatan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) iaitu Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) sedang mencari punca-punca yang menyumbang kepada berlakunya tragedi berkenaan.
Kedua-dua jabatan itu, kata Takiyuddin, melaksanakan operasi pemantauan melalui dron di kawasan Gunung Inas dalam usaha mengenal pasti lokasi-lokasi berisiko bagi siasatan dan tindakan seterusnya diambil.
"Setakat ini, (Gunung Inas) tidak tersenarai (dalam kawasan berisiko), kerana sebelum ini kalau (diikutkan dari) temu bual saya dengan penduduk-penduduk di kawasan ini, (ada) yang berumur 70 tahun, 60 tahun, mereka kata, 'this is the first time' berlakunya insiden seumpama ini.
"Jadi, bayangkanlah (selama) 70 tahun, tidak pernah berlaku, jadi ini kali pertama berlaku... bagi saya, ini adalah bencana alam (atau) ‘natural disaster’ jugalah,” katanya.
Takiyuddin berkata demikian dalam sidang media di Pusat Media Kampung Iboi di sini, hari ini selepas melakukan tinjauan di lokasi yang terjejas akibat tragedi banjir dan kepala air.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, sumber air yang terkumpul banyak di Gunung Inas yang mengalir turun dengan laju di sudut cerun yang curam dipercayai menyebabkan berlakunya kejadian banjir dan fenomena kepala air, pada Isnin.
Kesimpulan itu, kata Muhammad Sanusi, dibuat berdasarkan tinjauan udara yang dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam di kawasan gunung itu yang turut mendapati tiada pecahan takungan air seperti yang didakwa.