Banjir Baling: Dua LRA dihenti tugas akibat air keruh
Astro Awani
Julai 5, 2022 07:30 MYT
Julai 5, 2022 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Dua buah loji rawatan air (LRA) di Kedah terpaksa dihenti tugas pada lewat Selasa malam akibat air keruh.
Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, ia melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Kulim Hi Tech dan Loji Rawatan Air (LRA) Pinang Tunggal.
'Kedua-dua LRA tersebut dihenti tugas akibat kadar kekeruhan air mentah yang tinggi susulan banjir kepala air di Baling.
"Penutupan sementara ini akan menjejaskan 80,000 akaun (Hi-Tech) dan 121,000 akaun pengguna (Pinang Tunggal/Sg Petani)," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Kata Sanusi, Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan membuat penghantaran air terawat melalui lori dan tanker ke kawasan terjejas.
Kejadian banjir di Baling pada Isnin berlaku berikutan hujan lebat berterusan selama tiga jam sejak 2 petang sehingga menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk.