Banjir Baling: Dakwaan tanaman durian jadi punca, Ahli Parlimen desak projek dihenti
Bernama
Julai 5, 2022 16:50 MYT
Julai 5, 2022 16:50 MYT
BALING: Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berharap projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas di sini dihentikan, selepas ia didakwa sebagai antara punca kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di beberapa buah kampung di daerah ini, petang semalam.
Beliau berkata sebelum ini pihaknya yang mewakili penduduk di kawasan sekitar telah menghantar memorandum bantahan projek itu kepada Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
"Saya mewakili penduduk sudah membawa memorandum bantahan yang ditandatangani oleh 900 penduduk sekitar berserta dengan nombor kad pengenalan mereka, penduduk pun sudah banyak kali melakukan demonstrasi berhubung isu ini.
"Projek ini diluluskan oleh kerajaan negeri sebelum ini, isu ini bukan sebulan dua tapi sudah bertahun-tahun," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian di Kampung Iboi di sini hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa sedih dengan bencana itu yang mengorbankan tiga beranak berusia antara 14 hingga 53 tahun termasuk seorang wanita hamil empat bulan.
"Saya sudah cakap dalam Parlimen enam bulan lalu, kita di Baling perlukan RM300 juta untuk menyelesaikan isu banjir di Baling, sudah berulang kali saya merayu termasuk kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air, akhirnya hari ini berlaku juga kejadian tidak diingini," katanya.
Sementara itu Muhammad Sanusi dalam sidang media hari ini berkata dakwaan bahawa projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas sebagai punca kejadian itu belum disahkan.
Katanya dakwaan itu perlu disahkan dengan maklumat lengkap sebelum sebarang tuduhan dilemparkan kepada pihak yang terbabit.
-- BERNAMA