Banjir Baling: "Besar mana kolam itu?" - MB Kedah
Abd Hadi Che Awang
Julai 18, 2022 19:07 MYT
Julai 18, 2022 19:07 MYT
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tertanya-tanya keluasan sebuah kolam takungan bagi projek durian Musang King yang pecah dan disahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebagai punca kejadian banjir di beberapa kampung sekitar Kupang, 4 April lalu.
Menurutnya, persoalan itu timbul selepas melihat kesan besar akibat tragedi itu termasuk arus deras yang memusnahkan 17 buah rumah secara keseluruhan dengan faktor hujan yang dikatakan tidak terlalu lebat pada hari kejadian.
Beliau turut memaklumkan, tidak menemui atau melihat mana-mana kolam yang pecah ketika tinjauan udara dilakukannya beberapa hari selepas kejadian.
Sebaliknya, kata Muhammad Sanusi, kerosakan hanya berlaku pada tandak-tandak takungan air masyarakat.
Bagaimanapun, ujar beliau, pihaknya akur dengan kenyataaan KASA dan kerajaan negeri akan merancang tindakan susulan yang akan dilakukan bersama agensi berkaitan dalam mencari jalan penyelesaian terbaik agar tragedi sama tidak berulang pada masa akan datang.
"Kalau KASA (keluarkan kenyataan) ada kolam yang pecah disebabkan banjir, kita terima, (ketika tinjauan udara) yang kelihatan secara jelas dua kolam yang tak pecah, yang pecah tak nampak, (mungkin) sebab sudah pecah, dari pandangan kasar (dari) atas (udara) memang tidak nampak, (sebab) nak kena ragas (mendaki) bukit (Gunung Inas).
"Tandak (kolam takungan) air masyarakat di situ, (saya dimaklumkan) ada 27 kesemuanya yang mempunyai permit daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, yang tidak ada permit saya tidak tahu, tapi saya rasa ada lagi, di situ satu kampung satu tandak atau dua kampung satu tandak, tak boleh 'share' (kongsi) ramai-ramai.
"Mungkin (jadi faktor) penyumbang kalau KASA kata begitu, (tetapi) kalau kata satu kolam (yang pecah) sebesar itu (kesan) air yang keluar sehinggakan 42 kampung terjejas, besar mana kolam itu, kita kena fikir, (sebab) hujan katanya tidak lebat, kolam itu besar mana? Sebab limpahan air sebanyak itu bawa tanah pasir yang banyak dan hanyutkan 17 buah rumah," kata beliau.
Menteri Besar berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Bayaran Tanpa Tunai dan iHasil Kedah, di Pejabat Daerah Kota Setar, di sini, pada Isnin.
Terdahulu, KASA tidak menolak kemungkinan kolam takungan yang dibina berdekatan puncak Gunung Inas menjadi punca kepada kejadian banjir dan kepala air di Baling, Kedah baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, itu merupakan antara beberapa punca yang dikesan hasil kajian awal yang dilaksanakan oleh kementerian tersebut.
Tambah Tuan Ibrahim, keadaan itu diperkukuhkan lagi dengan berlaku peningkatan kadar air antara 0.2 meter dan 3.0 meter di kampung-kampung terlibat.