Banjir Baling: Bantuan dipantau supaya tiada kelewatan - Ismail Sabri
Bernama
Julai 10, 2022 11:00 MYT
Julai 10, 2022 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memantau pelaksanaan bantuan yang diumumkan sebelum ini kepada mangsa banjir di Baling, Kedah terutamanya bantuan baik pulih rumah yang terjejas.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pemantauan itu bagi memastikan tidak berlaku kelewatan khususnya bantuan membabitkan pembaikan rumah.
"Selepas banjir berlaku petang itu (4 Julai), pagi esoknya (5 Julai) itu kita umum beri bantuan tunai kepada mereka (mangsa) tetapi yang penting adalah rumah, apabila roboh perlu disegerakan dari segi pembinaan baharu atau baik pulih rumah.
"Tempat tinggal itu yang paling penting selain bantuan kewangan," katanya selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Pada 5 Julai lepas, Ismail Sabri mengumumkan pemberian bantuan awal kepada kira-kira 1,490 mangsa banjir membabitkan 112 ketua isi rumah (KIR) yang melibatkan bantuan awal berbentuk wang ihsan RM1,000, bantuan barangan keperluan asas berjumlah RM2,500, bantuan barangan elektrik sebanyak RM500 serta pembaikan rumah.
Pada 4 Julai lepas, beberapa kawasan di Baling dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam menyebabkan 1,490 penduduk terjejas selain meragut tiga nyawa.
Terdahulu, Ismail Sabri menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.
Beliau yang lengkap berbaju Melayu berwarna biru tiba di pekarangan masjid kira-kira 8.05 pagi.
Sejurus tiba, Ismail Sabri menuju masuk ke dalam masjid dan kemudian mengisi ruang di barisan saf hadapan bagi menunaikan solat sunat Aidiladha yang dipimpin Penolong Pengarah Kanan Masjid Wilayah Persekutuan Dr Khalid Isa.
Usai solat, Ismail Sabri mendengar khutbah bertajuk 'Berkorban Untuk Kejayaan' yang disampaikan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Rozimi Zamri.
Selesai khutbah, Perdana Menteri meluangkan masa bersalaman serta berswafoto dengan beberapa jemaah, sebelum meninggalkan pekarangan masjid kira-kira 9.15 pagi.
-- BERNAMA