Banjir Baling: AIM serahkan bantuan, laksana moratorium bersasar enam bulan
Astro Awani
Julai 6, 2022 08:15 MYT
Julai 6, 2022 08:15 MYT
KUALA LUMPUR : Bagi meringankan beban mangsa terjejas akibat kejadian banjir di Baling, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menggerakan sukarelawan seramai 50 orang pada Selasa.
Pasukan sukarelawan yang diketuai oleh Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz turut membawa dua lori muatan satu tan barangan keperluan isi rumah yang keseluruhan bernilai RM50,000.
AIM dalam satu kenyataan memaklumkan, selain barangan keperluan utama misi kali ini turut disertai dua jentera berat yang akan digunakan untuk kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang, kenderaan yang tersadai, dan membersihkan rumah kakitangan dan Sahabat yang terkesan.
Barangan keperluan yang diagihkan termasuk tong gas, dapur, cerek, telekung, sejadah, kain pelikat, kain batik, tuala wanita, barangan mandian, bantal, selimut, selipar, power bank dan lain-lain.
Selain bantuan barangan dan kerja-kerja pembersihan, AIM memberikan moratorium bersasar selama enam bulan kepada Sahabat yang terjejas banjir.
Untuk moratorium bersasar ini, Sahabat perlu membuat permohonan di cawangan masing-masing.
Difahamkan, banjir yang melanda beberapa kawasan di sekitar Iboi, Jerai dan Kubang pada 4 Julai lalu turut membabitkan seramai 115 Sahabat AIM.
Kesemua sumbangan dari AIM diserahkan oleh Shamir ke Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai.
Untuk rekod, kejadian banjir di Baling pada Isnin berlaku berikutan hujan lebat berterusan selama tiga jam sejak 2 petang sehingga menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk.
Kejadian banjir tersebut turut meragut tiga sekeluarga yang ditemui maut dalam tragedi banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang.