Banjir Baling: Agong zahir penghargaan semua pihak terlibat hulur bantuan

Nursyazwani Saiful Sham
Julai 9, 2022 11:00 MYT
Sebuah rumah ditimbuni kayu balak dan tanah yang dibawa arus berikutan hujan lebat berterusan selama tiga jam yang menyebabkan banjir kilat di Baling. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap bencana banjir di Baling, Kedah.
Kejadian tersebut turut meragut tiga nyawa, manakala lebih 1,400 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara.
Istana Negara dalam satu kenyataan memaklukam baginda menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga tiga mangsa terbabit dan berharap seluruh keluarga bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.
"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar penduduk yang terjejas, khususnya mereka yang hilang kediaman, tabah dan sabar menghadapi dugaan berat ini. Baginda menasihati penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.
"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan, petugas keselamatan, syarikat swasta dan individu yang mengambil tindakan segera membantu mangsa banjir.
"Seri Paduka Baginda turut berkenan mengambil maklum bahawa sebagai tanda solidariti atas musibah yang berlaku, masjid-masjid di seluruh negeri Pahang melaksanakan kutipan pada solat Jumaat kelmarin untuk disumbangkan kepada manga banjir yang terjejas," katanya.
Pada masa sama, Baginda menyeru kerajaan dan badan bukan kerajaan supaya menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana tersebut.
Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar Malaysia sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah.
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #banjir baling #Yang di-Pertuan Agong #mangsa banjir
;