Banjir Baling: 151 mangsa dipindahkan ke PPS

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 9, 2022 22:12 MYT
Anggota bomba memindahkan mangsa banjir yang sakit ke PPS. - Gambar/ JBPM
BALING: Seramai 151 mangsa banjir membabitkan 47 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Rakan Muda, Batu 42, selepas rumah mereka dinaiki air petang Ahad.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, kesemua mangsa terpaksa dipindahkan berikutan hujan berterusan sejak Sabtu.
“Hujan lebat sejak semalam menyebabkan rumah penduduk dinaiki air dan ditambah arus Sungai Ketil mengalir laju serta berada pada paras berjaga-jaga.
“Sehingga jam 6 petang tadi air masih bertakung di beberapa penempatan penduduk dan hujan masih turun renyai-renyai dibimbangi berlaku hujan lebat pada waktu malam jadi sebagai langkah keselamatan penduduk yang terjejas diarah berpindah,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Faizol berkata, mangsa berkemungkinan bertambah sekiranya hujan masih lebat dan tidak berhenti.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang melakukan bancian untuk mengemas kini jumlah mangsa.
Sementara itu, beliau menasihati penduduk yang tinggal di persisir sungai dan kawasan rendah supaya segera berpindah sekiranya arahan dikeluarkan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Semua aset agensi terlibat telah bersiap sedia untuk melakukan pemindahan mangsa sekiranya banjir memburuk,” ujarnya.
#banjir #banjir baling #PPS dibuka #Hujan lebat berterusan
;