Banjir: Bakal pengantin 'berendam' air mata

Shuhada Abdul Kadir
November 19, 2020 06:27 MYT
Nor Hazilah (kiri) berkata dia dan pasangan sudah tiga kali terpaksa menangguhkan pernikahan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). -Astro AWANI
JASIN: Bukan sahaja berendam air banjir, malah seorang bakal pengantin terpaksa ‘berendam’ air mata apabila kediaman keluarganya di Kampung Kilang Berapi, Jasin dinaiki air sehingga paras pinggang dalam banjir di Melaka malam tadi.
Bencana alam itu turut menyebabkan anak bongsu daripada tiga beradik itu terpaksa berputih mata apabila beberapa kelengkapan penting seperti pelamin dan set bilik tidur yang telah dihias ditenggelami air separas hampir satu meter.
Menceritakan detik mencemaskan itu, Nor Hazilah Moin, 27, berkata ketika kejadian dia dan keluarga sedang berehat selepas mengadakan majlis pertunangan ringkas.
Menyedari air mula memasuki rumahnya dengan pantas, dia bergegas mengalihkan perkakas di rumah namun tidak sempat menyelamatkan banyak barang.
Dijadual melangsungkan pernikahan pada Jumaat di Pejabat Agama Daerah Jasin, Nor Hazilah berkata dia dan pasangan sudah tiga kali terpaksa menangguhkan pernikahan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, dia tidak menyangka keterujaannya mendirikan rumah tangga bertukar tragedi selepas kediaman keluarganya di Kampung Kilang Berapi, Jasin dilanda banjir.
“Sebenarnya, majlis pertunangan saya sudah tertangguh tiga kali. Sepatutnya saya ingin mengadakannya pada Mac lalu tetapi PKP disambung.
“Oleh itu, kami membuat majlis ini dengan sederhana, sekadar menyarungkan cincin dan mengambil gambar.
“Esok (Jumaat) saya mahu bernikah tetapi pelamin saya sudah tenggelam akibat banjir,” luahnya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Sementara itu, ibunya Zaharah Md Junap, 63 tahun berkata hatinya sayu mengenangkan hampir kesemua barangan elektrik di rumahnya rosak akibat bencana itu.
Katanya, dia tidak menyangka bencana itu berulang selepas berdepan dugaan sama awal bulan lalu.
Bagaimanapun, kali ini merupakan yang terburuk dan dia reda bencana itu turut menjejaskan persiapan pernikahan anak bongsunya.
“Sayu memang sayu. Nasib saya macam itu kan, tetapi tidak mengapa.
"Memang kami terima, mungkin ada ketentuannya dan ada redanya, mungkin ada hikmah di sebalik tu.
“Majlis nikah anak saya ini akan saya teruskan pagi Jumaat, tetapi majlis bersanding yang dijadualkan pada 21 November, saya akan tangguhkan buat sementara waktu.
“Lagipun kami dalam PKPB, kami perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP),” ujarnya.
Terdahulu, lebih 150 mangsa daripada 37 buah keluarga di daerah Jasin dan Alor Gajah, Melaka terpaksa dipindahkan ke tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) selepas hujan lebat berterusan sejak petang Khamis.
#banjir #bakal pengantin #berendam air mata #Jasin #majlis pertunangan #Perintah Kawalana Pergerakan #PKP #Rumah Tangga #Pusat Pemindahan Sementara #PPS #Alor Gajah #Melaka
;