Banjir: Baju Krismas tiada, persiapan sambut bayi musnah

Hasimi Muhamad
Disember 25, 2021 13:00 MYT
Seman Idon dan isteri,Doris Mina (kiri) serta pasangan Meduin Manggang dan Melina Gupie terpaksa sambut Krismas di PPS Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Seksyen 19, Shah Alam. - Gambar Astro AWANI
SHAH ALAM: Sudahlah tidak boleh pulang ke kampung halaman, persiapan Krismas pula musnah akibat banjir yang melanda kawasan Taman Sri Muda di sini, baru-baru ini.
Apa yang tinggal ketika ini, hanya semangat untuk bangkit semula berbekalkan sokongan daripada keluarga yang jauh di mata.
Itu antara situasi yang perlu dilalui oleh Seman Idon, 41, yang berasal dari Betong, Sarawak selepas persiapan untuk anak dan isterinya, Doris Mina, 33, meraikan Hari Natal hari ini, lenyap dibadai bah.
Satu-satunya yang sempat diselamatkan ialah baju t-shirt berwarna hijau yang tertera tulisan ‘Merry Christmas.’
“Kita pakai baju hijau ini berkumpul, memandangkan masih PKP (perintah kawalan pergerakan) lagi, jadi (kalau dapat) berkumpul pun hanya dalam keluarga terdekat sahaja.
“(Baju) ini saya tempah dari Sarawak sebagai persiapan Hari Krismas,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Seksyen 19 di sini, hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] Banjir ragut 46 nyawa, lebih 54,500 mangsa masih di PPS
Berkongsi lanjut, Seman berkata, dia terpaksa memujuk dua anaknya, Jefferyson Seman, 12, dan Mariana Seman, 9, bahawa sambutan Krismas tahun ini perlu diraikan di PPS.
Sebagai ketua keluarga, dia perlu kuat untuk memastikan keluarganya menerima dugaan tersebut dengan hati terbuka.
“Perbezaan tahun ini memang agak sedih keadaan banjir yang menimpa kita ini dalam kesusahan, dengan harta benda semua rosak.
“Apa-apa (barang) rumah tidak boleh pakai lagi. Sebelum ini kita gembira sambut Krismas sama-sama keluarga dan semua baju dan persiapan Krismas sudah dibuat.
“Selain itu, saya juga beritahu anak kita kena reda, persiapan Krismas ini kita terpaksa tinggal dewan (PPS) seperti ini dan mereka faham dengan keadaan sekarang ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, seorang lagi pasangan suami isteri, Meduin Manggang, 36, dan Melina Gupie, 25, juga mengalami nasib sama.
Tidak sekadar hilang baju baharu untuk Krismas, bahkan barangan untuk menyambut kelahiran cahaya mata kedua juga tidak dapat diselamatkan.
“Rasa kecewa sikit tetapi apa boleh buat jadi macam ini, memang reda sahaja lah.
“Saya di sini sudah tiga tahun tidak balik, nak balik juga tetapi sebab COVID-19 terpaksa tinggal dulu di sini,” ujar Meduin yang berasal dari Sibu.
Ketika ini isterinya sedang sarat mengandung tujuh bulan.
PPS CIAST menempatkan lebih 300 mangsa banjir yang terdiri daripada penduduk di Seksyen 25 (149 orang) manakala 200 lagi adalah kakitangan CIAST.
#banjir #Hari Krismas #PPS #Banjir Taman Sri Muda
;