Banjir: ATM tambah anggota, fokus bantuan pascabanjir - PAT

Harits Asyraf Hasnan
Disember 25, 2021 17:42 MYT
Hari ini ATM buat penambahan menjadikan 500 anggota untuk membantu kerja-kerja pembersihan. - Foto Facebook/ Tentera Darat Malaysia
SHAH ALAM: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan jumlah keanggotaan menerusi Operasi Murni di beberapa kawasan yang terjejas akibat banjir di Selangor.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata ia meliputi kerja-kerja pascabanjir termasuk pembersihan fasiliti awam di kawasan Taman Sri Muda dan Kg. Bukit Lanchong.
"Jika sebelum ini seramai 109 keanggotaan yang kita atur gerakkan. Hari ini ATM buat penambahan menjadikan 500 anggota untuk membantu kerja-kerja pembersihan.
"Trup di sini menumpukan kepada fasiliti awam seperti rumah ibadat dan sekolah-sekolah yang terjejas teruk.
"Aset terlibat, kita atur gerakkan adalah jengkaut dan lori 'tipper' serta aset tambahan lain yang sesuai dan kita selaraskan kerja-kerja ini dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)," katanya pada sidang media di Tan Sri Muda, hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] Banjir ragut 46 nyawa, lebih 54,500 mangsa masih di PPS
Mengulas berkenaan operasi di Pahang, Affendi berkata ATM kini memberi tumpuan di Mentakab dan Karak.
"Kita kini memberi tumpuan kepada dua lokasi ini dan juga lokasi-lokasi lain di Pahang yang terjejas banjir.
"Di Pahang, buat masa kini atur gerak ATM adalah di Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera dengan atur gerak melibatkan 16 pegawai dan 206 anggota.
"Pada masa kini, ATM di Pahang banyak menggerakkan aset-aset yang mempunyai mobiliti lasak dan sesuai digunakan bagi tujuan pengangkutan seperti kenderaan trak tujuh dan tiga tan yang boleh meredah banjir selain dari penggunaan bot-bot tempur yang ada dalam pegangan ATM," jelasnya.
Justeru, katanya ATM mengekalkan kekuatan satu kompeni iaitu lima pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan kesiapsiagaan di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan.
Menurutnya, ATM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekunder yang merupakan antara peranan yang kita laksanakan selain dari memikul tugas utama menjaga kedaulatan tanah air.
#Angkatan Tentera Malaysia #pasca banjir #bantuan banjir #Banjir 2021
;