Banjir: Astro Radio kumpul keperluan harian, bantu mangsa
Ehsan A Marisah
Disember 24, 2021 19:03 MYT
Disember 24, 2021 19:03 MYT
KUALA LUMPUR: Astro Radio dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan Lotus's Stores Malaysia Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) mengambil inisiatif mengumpulkan sumbangan keperluan harian daripada orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa banjir menerusi kempen KamiCare Flood Relief.
Penyampai radio Era, Nabilah Mohamad berkata, kempen yang bermula dari 10 pagi hingga 4 petang itu sedikit sebanyak mampu meringankan beban yang terpaksa dihadapi mereka pada saat mencabar ini.
"Antara barangan yang didermakan seperti makanan kering, air mineral, barang mandian dan pembersihan diri, pakaian, tuala wanita, lampin serta barang-barang keperluan yang mangsa-mangsa banjir amat perlukan ketika ini.
"Selain itu, ada juga (orang ramai) yang membawa barangan yang terpakai dari rumah seperti bantal dan tilam, dan ada juga yang membelinya terus di sini.
"Kami juga ada membuka buka reruai (booth) untuk mereka beli dan sumbangkan terus termasuk ada yang secara spontan datang memberikan sumbangan," katanya kepada ketika ditemui Astro AWANI di Lotus's Kepong, di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mara Liner Sdn Bhd (Mara Liner), Zachary Ismail Zee Ismail berkata, pihaknya turut menyokong insiatif tersebut dari segi kemudahan logistik dengan menyediakan dua buah bas bagi membawa kesemua sumbangan ke ibu pejabat BSMM sebelum diagihkan.
"Sekiranya ada mana-mana agensi ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang inginkan bantuan logistik seperti ini untuk menghulurkan bantuan, kami sedia bekerjasama.
"Kerana inilah teras kami, iaitu 'Mara prihatin'," ujarnya.
Terdahulu, kempen KamiCare Flood Relief diadakan di Lotus's Ara Damansara dan kempen seterusnya akan diteruskan serta dimaklumkan dari semasa ke semasa di laman rasmi Astro Radio.