Banjir: Agong titah jaga anak-anak, patuh arahan berpindah

Mohd Zalani Md Atan
Disember 20, 2022 14:45 MYT
Yang di-Pertuan Agong (kiri) berkenan meluangkan masa bertanya khabar dan mengurniakan sumbangan peribadi kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Beserah hari ini. - Foto BERNAMA
KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah supaya mangsa banjir mendengar arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diminta berbuat demikian.
Baginda juga berpesan kepada ibu bapa supaya memberi lebih perhatian kepada anak-anak mereka sepanjang musim tengkujuh.
Ini bagi memastikan anak-anak mereka sentiasa didalam keadaan selamat dan tidak berlaku insiden tidak diingini ketika bencana.
Selain itu baginda turut menasihatkan kepada semua penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir untuk terus berwaspada dan mendengar arahan pihak kerajaan jika diarahkan berpindah.
Ikuti semua perkembangan mengenai banjir DI SINI!
Baginda juga berharap semua yang terlibat agar bersabar menghadapi musim temgkujuh yang sedang dihadapi.
"Saya nasihat juga supaya kaum ibu bapa jagalah anak-anak dan cucu-cucu supaya mereka tidak kehilangan dalam dalam keadaan macam ini (banjir) dan saya harap juga tempat-tempat PPS ini sentiasa dalam keadaan bersih dan guna tandas ini sebaik mungkin. Jagalah kebersihan semasa di PPS ini dan banyak bersabar," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Beserah, di sini, pada Selasa.
Al-Sultan Abdullah yang turut diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, sebelum itu menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di situ.
Seramai 226 penduduk terjejas banjir daripada 50 keluarga ditempatkan di PPS tersebut sejak dua hari lalu.
Banjir buruk melanda Pantai Timur Semenanjung sejak Ahad lalu menyaksikan seorang bayi lelaki berusia setahun tiga bulan terkorban di Kelantan.
Bayi itu ditemukan lemas di Kampung Gual Tok Deh, dekat Pasir Mas, Kelantan. tengah hari semalam.
Sebelum itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut akibat banjir di Terengganu setelah ditemukan lemas di Kampung Apal, Jerteh, Besut pada 18 Disember.
#Yang di-Pertuan Agong #PPS #mangsa banjir #pusat pemindahan
;