Banjir: Agong berkenan ziarah mangsa banjir di PPS
Faris Danial Razi
Disember 19, 2021 14:35 MYT
Disember 19, 2021 14:35 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa simpati kepada mangsa banjir di seluruh negara yang terpaksa berpindah dari rumah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat bencana banjir.
Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, baginda berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru hari ini.
“Seri Paduka Baginda telah berkenan meluangkan masa hampir saju jam dari jam 11.15 pagi menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir di PPS tersebut.
“Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mereka dengan harapan ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir kilat susulan hujan lebat sejak 48 jam lepas.
“Keberangkatan Seri Paduka Baginda mencemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat Baginda tanpa mengira masa, tempat dan cuaca.
“Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di empat lagi PPS di Dewan Hamzah (Dang Wangi), Pusat Komuniti Sentul, SRJK Tamil Saraswathy dan Dewan Sri Endah Seputeh di Brickfields,” jelas Istana Negara menerusi Facebook pada Ahad.
Tambah Istana Negara, Seri Paduka Baginda juga menasihati rakyat yang terkesan akibat banjir ini supaya bersabar dan reda dalam menghadapi ujian serta dugaan yang menimpa mereka.
“Baginda turut menasihati rakyat supaya mematuhi semua nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga tersayang.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar semua pihak membuat persediaan rapi memandangkan cuaca diramalkan kurang baik pada bulan ini (Disember) dan Januari.
“Seri Paduka Baginda menyeru agensi-agensi kerajaan untuk turun menghulurkan segala bentuk bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara dengan lebih pantas, termasuk khemah-khemah yang mencukupi di PPS untuk keselesaan mangsa-mangsa banjir.
“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama-sama mendoakan semoga cuaca akan bertambah baik dan bencana banjir tidak berlarutan serta fenomena banjir terbesar pada tahun 1971 tidak berulang,” tambah kenyataan itu lagi.
Jumlah mangsa banjir meningkat kepada 17,963 orang membabitkan 6,135 keluarga di lapan negeri dengan Perak dan Kuala Lumpur menjadi negeri terbaharu dilanda bencana itu setakat jam 11.20 pagi ini.
Berdasarkan laporan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 275 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka.