Banjir: 7 sekeluarga tidur dalam stor, bawah kanvas selepas 3 kali rumah dinaiki air
Fareez Azman
Januari 4, 2022 20:15 MYT
Januari 4, 2022 20:15 MYT
KUALA LIPIS: Banjir yang melanda Kuala Lipis pada kali ketiga pada 1 Januari lalu menenggelamkan beberapa kawasan perkampungan bersebelahan Sungai Lipis.
Ketika ini air banjirnya sudah surut, namun ia memberi kesan yang mendalam kepada penduduk.
Astro AWANI ke Kampung Binjai, antara kawasan terjejas teruk akibat gelombang kedua banjir di kawasan berkenaan.
Tinjauan mendapati, ada penduduk yang mengambil keputusan berlindung dalam stor dan mendirikan khemah di lereng bukit, semata-mata untuk mengelakkan tragedi jika berlaku gelombang ketiga banjir.
Menurut Rohana Abdul Razak, 55, keputusan tinggal sementara di stor dan khemah di kawasan tinggi berhampiran rumahnya itu terpaksa dibuat demi keselamatan keluarga, walau mengakui ia jauh dari selesa.
Stor kecil jadi rumah
Stor kecil yang sebelum ini dibina untuk menyimpan barangan, kini menjadi tempat berteduh tujuh ahli keluarganya termasuk suami, anak, menantu dan dua cucu.
"Pada awal Januari 2021 lalu, air naik sampai ke bumbung, (banjir) yang baru ini pada 18 Disember lalu sampai bumbung juga. Jadi pada 1 Januari 2022 kami nekad pindah naik ke atas (lereng bukit).
"Kami sebenarnya dah turun ke rumah selepas banjir surut, tapi banjir gelombang kedua pula datang... jadi kami terpaksa berpindah semula ke atas," jelasnya.
Bukan tidak mahu berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS), namun jelas Rohana, kekangan difikirkannya adalah kerana dua cucu masih kecil.
"Kami diminta pindah ke PPS, tapi kami anak kecil umur dua hingga enam tahun... sebab nak bawak budak-budak susah... jadi terpaksa menginap di sini.
"Memang tak selesa, saya duduk dua minggu badan terasa gatal-gatal, tak selesa. Sebab pindah waktu hujan, semua basah termasuk tilam pun basah (masa berpindah)," katanya lagi.
Berdoa tiada gelombang ketiga
Tambah Rohana, banjir yang melanda kampung itu pada 18 Disember lalu memberi kesan emosi kepada mereka.
Setiap kali hujan, dia berasa takut dan cemas memikirkan kemungkinan berlaku lagi gelombang ketiga.
"Perasaan itu berdebar-debar, kalau hujan masuk hari ketiga memang kami dah siap sedia berkemas. Bak kata orang tua, duduk tak panas punggung sebab risau dengan cucu dan barangan keperluan kita lagi, siapa nak menolong kita," katanya.
Nak berpindah perlukan modal tinggi
Sama ada kediamannya selamat atau tidak, ujar Rohana, dia hanya mampu berserah kepada Allah.
"Jika mahu berpindah ke kawasan lain (selepas ini), sudah banyak modal dikeluarkan untuk membina rumah di tanah pusaka.
"Kalau ada peruntukan kerajaan beri bantuan kepada kami, boleh kami bina untuk penempatan baru, bolehla bina rumah itu kalau ada tempatnya," katanya.
Kembali ke rumah jika cuaca baik
Pemerhatian Astro AWANI mendapati, rumahnya terletak di kawasan rendah, menjadi faktor berlakunya banjir saban tahun.
Bagi Rohana, dia hanya akan berpindah kembali ke rumahnya, selepas cuaca di daerah itu kembali cerah.
"Kami rasa nak pindah ke bawah (rumah) dalam dua minggu lagi, selagi tak habis gelombang ini kami takkan turun. Kalau nak mandi baru turun ke bawah sekejap, takut juga kalau naik air nanti kena bawa lari kain baju lagi.
"Memang cadangnya duduk di stor sementara, kalau ikut ramalan cuaca sampai 6 Januari kemudian sampai Februari cuaca buruk lagi, memang terpaksa tinggal di sini," katanya lagi.
Realitinya ketika ini ujar Rohana lagi, dia sudah penat mengemas rumahnya yang terjejas akibat banjir.
"Baru enam hari air banjir gelombang pertama surut, sudah dibadai gelombang kedua," katanya.
Di Kampung Binjai, kira-kira 41 rumah ditenggelami air sejak 18 Disember lalu.
Kawasan itu antara lokasi pertama gelombang kedua melanda di Pahang sejak Sabtu lalu.