Banjir: 5,063 sekolah akan jadi PPS, persediaan SPM lancar - Fadhlina
Ridauddin Daud
November 6, 2023 13:32 MYT
November 6, 2023 13:32 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,063 sekolah berdaftar sebagai pusat pemindahan banjir (PPS) bagi menghadapi musim tengkujuh dalam Monsun Timur Laut (MTL) hujung tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia termasuklah kira-kira lapan buah sekolah yang akan dijadikan sebagai PPS kekal.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) juga menjalinkan kerjasama dengan semua agensi terlibat, malah telah menggerakkan jawatankuasa bagi menghadapi monsun tersebut.
“Dari segi sinergi dengan semua pihak merentas agensi termasuk Nadma, semua mereka telah kita hubungi pada peringkat awal bagi memastikan sinergi ini berjalan lancar.
“Kita juga mengeluarkan surat siaran yang lebih awal, pada Oktober untuk pastikan semua sekolah kita diberikan peringatan lebih awal terutamanya sekolah yang dijadikan PPS.
“Ada 5,063 sekolah yang diwartakan sebagai PPS dan kita juga sedang bersedia dengan sebarang persiapan dalam tujuh atau lapan sekolah yang akan jadi pusat pemindahan kekal,” katanya.
Tambah beliau, KPM juga sudah bersedia dari aspek pemindahan aset dan kelengkapan meja serta kerusi plastik ke sekolah-sekolah yang terkesan dengan banjir.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Maljlis Pelancaran Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan Taman Dato’ Harun 2 di Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di semua sekolah yang dijadikan PPS akan berjalan seperti biasa.
Jelasnya,meskipun sebahagian ruang sekolah tersebut dijadikan kawasan penempatan untuk mangsa banjir namun ia tidak akan mengganggu proses PdP.
Tambah beliau, persiapan itu termasuk bagi menghadapi peperikasaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 5 Disember depan.
“Kita bersedia. SPM pun kita akan mula pada 5 Disember ini. Kesiapsediaan itu termasuk dalam persiapan SPM,” ujarnya.