Banjir: 4,222 mangsa dipindahkan di Sarawak

Munirah Mudzamli
Januari 14, 2021 07:56 MYT
Keadaan di sekitar tebingan Kuching (waterfront) yang dirakam pengguna media sosial pada Khamis. - Foto media sosial
KUCHING: Fenomena air pasang besar yang mencecah sehingga 6.1 meter bermula jam 5.20 pagi tadi menyebabkan banyak kawasan di Daerah Kuching, Bau, Samarahan dan Serian terus dinaiki air.
Menurut laporan terkini Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, sehingga jam 8 pagi ini, sejumlah 48 pusat pemindahan sementara (PPS) sedang beroperasi di seluruh negeri, melibatkan 1,127 keluarga dan 4,222 mangsa.
Daripada jumlah berkenaan, 30 PPS adalah di Bahagian Kuching, yang menempatkan 722 keluarga dan 2,865 mangsa.
Ia merupakan peningkatan tiga kali ganda jumlah mangsa berbanding 1,826 orang di 33 PPS di beberapa daerah di Sarawak petang semalam.
Bahagian Samarahan menempatkan 105 keluarga dan 314 mangsa di empat pusat pemindahan. manakala Bahagian Serian merekodkan 1,014 mangsa daripada 296 keluarga di sembilan pusat pemindahan.
Miri kekal dengan dua PPS yang menempatkan 29 mangsa dari empat keluarga.
Sementara itu, menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah, setakat ini pihaknya telah mengendalikan urusan pemindahan dan menyelamat 1,049 mangsa di seluruh negeri, termasuk lapan orang kelainan upaya (OKU), 29 bayi dan 255 kanak-kanak.
Gerak kerja pemindahan ini katanya, dilaksanakan sembilan balai bomba dan penyelamat di seluruh negeri, dengan yang paling aktif ialah Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Petra Jaya dan Batu Lintang.
“Pada masa yang sama, terdapat lima kes tanah runtuh dilaporkan,
"Melibatkan lokasi Rumah Panjang Panggil Atas (Sri Aman); Lorong Gersik 3 (Kuching); Paya Mebi (Padawan); Grogo (Bau) dan Rumah Cuat Sungai Ribong (Sarikei)," tambahnya.
Fenomena air pasang besar hari ini juga dijangka berlaku di Kuching pada jam 7.01 malam ini dan di Miri jam 11.52 malam.
#Sarawak #banjir #Kuching #Miri #OKU #Padawan #tanah runtuh #pusat pemindahan #PPS #air pasang besar #mangsa #Kanak-kanak #bayi #operasi #bomba
;