TAPAH: Seramai 37 orang daripada 12 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini, apabila rumah mereka di Kampung Pasir, Temoh, dekat sini dinaiki air kira-kira satu meter.

PPS itu dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chenderiang.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai keadaan banjir di kampung berkenaan pada 7.32 malam.

"Paras air setinggi satu meter (tiga kaki) melibatkan 27 buah rumah dan bomba memindahkan 37 orang dari 12 keluarga,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut jurucakap itu lagi, pemindahan dilakukan dengan menggunakan bot fiber dan kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux.

Tambahnya, anggota bomba juga terus membuat pemantauan untuk memastikan tiada mangsa yang terperangkap di kawasan tersebut.

Operasi itu yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Nadzri Che Nordin tamat jam 10.40 malam.