Banjir: 34 kediaman rosak teruk di Sungai Lui diganti rumah baharu - Fadillah
Bernama
Januari 3, 2022 20:38 MYT
Januari 3, 2022 20:38 MYT
HULU LANGAT: Sebanyak 34 kediaman di Sungai Lui di sini yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini akan digantikan dengan rumah baharu menerusi bantuan Rumah Kekal Banjir (RKB) Kementerian Kerja Raya.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia diberikan secara percuma kepada pemilik rumah yang rosak teruk seperti dihanyutkan arus deras.
Beliau berkata terdapat dua jenis reka bentuk yang dicadangkan dan bergantung kepada kelulusan akhir iaitu rumah dibina atas tanah atau rumah bertiang.
"Rumah bertiang RM70,000 manakala rumah atas tanah RM56,000 (seunit rumah). Rumah ini berkeluasan 660 kaki persegi dengan tiga bilik, satu bilik air, satu ruang tamu dan ruang makan," katanya selepas meninjau proses pembinaan Jambatan Bailey dekat Batu 19, Sungai Lui hari ini.
Fadillah berkata kesemua mangsa banjir yang layak menerima bantuan berkenaan dikenal pasti melalui kepimpinan masyarakat setempat seperti penghulu atau ketua kampung dan disahkan oleh Pejabat Daerah berkaitan.
Beliau berkata RKB akan dibina di tanah milik mangsa banjir yang layak menerima bantuan itu dan proses pembinaannya bergantung kepada rundingan bersama.
"Kerajaan bersedia untuk melaksanakannya, cuma daripada segi pentadbiran dan bila ia akan dilaksanakan bergantung kepada rundingan dengan tuan tanah dan sebagainya.
"Kalau mereka bersetuju dengan konsep ini, maka apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat peruntukan nanti kita akan buat proses selanjutnya seperti melantik kontraktor dan sebagainya," katanya.
Beliau turut berkata bantuan berkenaan akan diperluas ke negeri lain seperti Pahang dan Kelantan yang turut terjejas banjir namun mengikut keperluan sekiranya bencana itu mengakibatkan banyak rumah yang mengalami kerosakan teruk.
Mengenai Jambatan Bailey, Fadillah berkata JKR sedang memohon peruntukan daripada kerajaan untuk menambah tujuh set komponen jambatan itu bagi menampung keperluan sekiranya berlaku banjir besar dan mengakibatkan jambatan runtuh.
"Kalau berlaku lagi banjir besar dan ada berlaku keruntuhan jambatan, kita (JKR) tidak cukup stok Jambatan Bailey sekarang ini. Kalau ikut stok, hanya ada empat set sahaja untuk standby," katanya sambil menambah pembinaan sebuah Jambatan Bailey menelan belanja RM30 juta.
Fadillah juga berkata sebanyak 895 lokasi jalan raya, jambatan dan cerun terjejas akibat banjir di seluruh Semenanjung sejak 18 Disember lepas hingga kini.
"Sebanyak 802 daripadanya telah dibersihkan, bermakna ada jalan sudah dibuka sama ada dua lorong atau sekurang-kurangnya satu lorong," katanya.
Beliau berkata setakat ini, pihaknya menganggarkan hampir RM970 juta diperuntuk bagi kerja pembersihan, baik pulih dan pembinaan infrastruktur yang terjejas banjir.
-- BERNAMA