Banjir: 27 pos PGA, 10 balai polis di Kelantan terjejas

Bernama
November 30, 2024 17:32 MYT
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat (tiga, kanan) membuat lawatan dan memantau keadaan terkini Balai Polis Meranti yang dinaiki air banjir hari ini. - Bernama
PASIR MAS: Sebanyak 27 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di Tumpat dan Rantau Panjang tenggelam manakala 10 balai polis ditutup akibat banjir sejak beberapa hari lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kesemua anggota PGA kini terpaksa menumpang di beberapa pusat pemindahan sementara di Lubok Setol.
Beliau berkata walaupun pos PGA ditenggelami banjir, pihaknya tetap meneruskan pemantauan dan kawalan keselamatan.
"Kawalan sempadan negara tetap dalam keadaan baik dan kita menggunakan bot sedia ada untuk membuat rondaan kerana apabila hujan, air di Sungai Golok melimpah menyebabkan garisan pemisah sempadan Malaysia-Thailand hilang," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media khas di Pusat Kawalan Bencana Operasi di Balai Polis Repek di sini hari ini.
Sementara itu, ditanya mengenai pelaksanaan larangan merentas sempadan Malaysia-Thailand khususnya terhadap individu melalui pangkalan haram yang akan berkuat kuasa esok, Mohd Yusoff berkata pihaknya tetap menguatkuasakannya sebagaimana yang telah ditetapkan walaupun negeri ini dilanda banjir.
Beliau berkata jika dilihat, pada masa ini semua pangkalan haram itu telah 'hilang' ditenggelami air Sungai Golok.
Mohd Yusoff turut memaklumkan Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas menerima 107 panggilan palsu berkaitan banjir pada Jumaat lepas.
"Apabila kami terima panggilan, pihak berkuasa akan pergi ke kawasan banjir untuk kerja-kerja menyelamat, namun apabila tiba tiada individu atau rumah terjejas di kawasan diadukan itu.
"Bukan mudah untuk kami (pasukan penyelamat) tiba di lokasi bagi menghulurkan bantuan dan mengambil masa yang panjang," katanya sambil menambah perbuatan seumpama itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan membuang masa anggota penyelamat.
-- BERNAMA
#banjir #Kelantan #pos PGA #balai polis #Mohd Yusoff Mamat
;