Banjir: 25 pam bergerak dipasang di Batu Pahat, atasi fenomena 'air termenung'

Muhammad Aiman Hakeem
Mac 12, 2023 16:16 MYT
Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali berkata, pelaksanaan inisiatif itu mampu mengawal impak banjir bagi kawasan-kawasan yang terlibat banjir. - Gambar/ Astro AWANI
BATU PAHAT: Sekurang-kurangnya 25 pam bergerak diaktifkan di beberapa sungai di daerah ini bagi menurunkan paras air sekali gus membantu mempercepatkan pemulihan banjir termasuk fenomena 'air termenung'.
Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali berkata, pelaksanaan inisiatif itu mampu mengawal impak banjir bagi kawasan-kawasan yang terlibat banjir.
"Saya menjangkakan dalam minggu ini, kita dapat mempercepatkan usaha mengepam air keluar. Inilah usaha-usaha yang kita rasakan paling cepat berkesan dalam tempoh yang terdekat ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pengoperasian pam bergerak di Pintu Air Sungai Senggarang, Batu Pahat, pada Ahad.
Katanya, ketika ini, tujuh pam telah diaktifkan, dengan 13 lagi baru diterima dan sedang dipasang.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan membekalkan lima lagi pam bergerak hari ini dan esok.
"Ketika ini, sebanyak tujuh pam telah diaktifkan, dan esok sekurang-kurangnya 25 pam akan aktif.
"Ini adalah inisiatif kerajaan negeri yang terus membantu daerah Batu Pahat supaya air dapat dikeluarkan dan sekali gus dapat membantu mempercepatkan pengurangan air di kawasan terlibat banjir," katanya.
Jelasnya, pemasangan pam itu membabitkan sungai-sungai di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Semerah, Sri Gading, Semarang, Penggaram dan Sri Medan.
#pam bergerak #Batu Pahat #banjir #air temenung
;