Banjir: 139 orang masih berada di dua PPS di Perak setakat 10 pagi

Bernama
Ogos 26, 2024 12:12 MYT
Jumlah mangsa banjir di Perak kekal 139 orang daripada 34 keluarga yang ditempatkan di dua PPS setakat 10 pagi. - Gambar fail/Bernama
IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak kekal 139 orang daripada 34 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Muallim serta Larut, Matang dan Selama, setakat 10 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan di Muallim, 116 mangsa daripada 27 keluarga dari Kampung Pasir ditempatkan di PPS Masjid Jamek Kampung Pasir.
Seramai 23 mangsa daripada tujuh keluarga dari Kampung Tebuk pula ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang di daerah Larut, Matang dan Selama.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kebanyakan daerah di Perak antaranya Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk serta Kuala Kangsar akan mengalami hujan pagi ini.
Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan laluan A121 Jalan Slim River-Behrang Ulu di daerah Muallim masih ditutup akibat jalan utama runtuh manakala FT 004 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang Gerik-Jeli dibuka satu lorong disebabkan tanah runtuh.
"Laluan di FT 1152 Felda Trolak Selatan di daerah Batang Padang juga dibuka satu lorong kepada semua kenderaan disebabkan berlaku runtuhan di bahu jalan berkenaan," menurut JKR.
-- BERNAMA
#banjir Perak #jumlah mangsa banjir #pusat pemindahan #PPS
;