Banjir: 119 mangsa dipindahkan ke tiga PPS di Sarawak

Rudi Affendi Khalik
Disember 22, 2022 07:50 MYT
Antara mangsa yang dipindahkan ke PPS akibat banjir. - Foto JBPN Sarawak
KUCHING: Beberapa kawasan di selatan Sarawak mula dinaiki air apabila hujan tanpa henti turun sejak 18 jam yang lalu.
Menurut Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, antara kawasan terjejas termasuk Kampung Sungai Bedaun di Daerah Kuching dan empat kampung di Daerah Bau.
"Pihak kami menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4 pagi dan sepasukan anggota daripada Balai Petra Jaya diatur gerak ke lokasi untuk membantu memindahkan 13 keluarga terjejas.
"Kesemua mereka kemudian ditempatkan di dewan serbaguna kampung tersebut," ujarnya kepada Astro AWANI.
Di lokasi ini kata Ling Hii, keadaan air naik ke paras empat hingga lapan kaki.
Turut terjejas katanya, lima buah rumah di Kampung Rembus, Samarahan.
"Sepasukan anggota daripada Balai Samarahan telah digerakkan untuk membantu kerja-kerja pemindahan lima keluarga ini sekitar jam 4 pagi.
"Mereka termasuk dua kanak-kanak dan seorang bayi," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Bau, Tawang Linggem ketika dihubungi melaporkan, empat lokaliti terjejas banjir di daerah itu.
"Lokaliti terlibat ialah Kampung Tembawang Baru, Jugan, Stenggang dan Opar.
" Pihak kita juga telah mengatur gerak kerja-kerja memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan 17 keluarga di Kampung Jugan; dua keluarga (Tembawang Baru); satu keluarga (Kampung Opar)," katanya.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, sehingga jam 7 pagi tadi, tiga PPS telah dibuka secara rasmi dan menempatkan 119 mangsa.
Jumlah dijangka meningkat berikutan hujan masih turun berterusan.
Pada jam 3 petang semalam, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk) di kebanyakan kawasan di Sarawak.
#banjir #hujan lebat #mangsa #PPS
;