Banjir: 10 sungai utama di Kelantan lepasi paras bahaya
Bernama
Disember 19, 2022 14:01 MYT
Disember 19, 2022 14:01 MYT
KOTA BHARU: Sebanyak 10 sungai utama di Kelantan telah melepasi paras bahaya membabitkan enam jajahan iaitu Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat dan Bachok setakat pukul 1 tengah hari ini.
Berdasarkan laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, sungai terbabit yang melepasi paras bahaya adalah tiga sungai di Kuala Krai iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang dengan bacaan 39.40 meter (m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.19 m) dan Sungai Nal di Kampung Sungai Nal (29.24 m).
Selain itu, masing-masing dua sungai di Jeli dan Tanah Merah turut merekodkan bacaan paras bahaya iaitu Sungai Pergau di Jambatan Jerimbong, Kuala Balah (55.76 m), Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli (29.72 m) serta Kampung Jenob (24.97 m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.08 m).
Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.70 m), Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (3.00 m) dan Jambatan Melor, Bachok (9.87 m) turut merekodkan bacaan paras bahaya.
Sementara, para air Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu (3.44 m) dan Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh (2.73 m) berada pada paras waspada.
-- BERNAMA