Bangunkan tanah terbiar antara usaha jamin sekuriti makanan negara - Ronald
Astro Awani
Jun 16, 2022 20:05 MYT
Jun 16, 2022 20:05 MYT
PUTRAJAYA: Membangunkan tanah-tanah terbiar milik individu, agensi atau kerajaan negeri untuk pertanian adalah antara pendekatan yang akan diambil kerajaan untuk memastikan sekuriti makanan dalam negara terjamin.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ronald Kiandee berkata susulan itu penggunaan tanah terbiar untuk pertanian adalah antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hujung bulan ini.
"Kita mencari langkah dan tindakan untuk menjamin bekalan makanan, jadi ruang untuk membangunkan tanah terbiar adalah antara langkah dan tindakan yang difikirkan kerajaan untuk memastikan kelangsungan bekalan makanan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Pecutan Berasaskan Biologi (BBA) di sini hari ini.
Isnin lepas, Ismail Sabri berkata kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri akan dipertingkatkan dalam usaha menambah keluasan tanah bagi kegunaan pertanian yang bertujuan antaranya menjamin sekuriti makanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.
Dalam usaha mengurangkan kos input dan kos bahan makanan yang sedang dialami negara, Ronald berkata antara langkah yang sedang dipertimbangkan adalah penggunaan sisa isirung sawit sebagai makanan haiwan dan bagaimana kerajaan dapat menampung sedikit kos penggunaan sisa isirung sawit itu dalam industri ternakan haiwan.
"Begitu juga kita melihat (jika) tarif elektrik yang dikenakan dalam sektor agromakanan boleh dikurangkan supaya ia dapat mengurangkan kos pengeluaran," katanya.
Terdahulu ketika berucap, Ronald berkata syarikat yang terlibat di bawah program BBA akan dibantu dan dibimbing dari segi pembangunan teknologi dan produk, akses pasaran, pengkomersialan fasiliti perkongsian serta menjadikan syarikat mereka berstatus BioNexus.
"Program ini akan mampu memperkukuhkan lagi agenda sekuriti makanan negara dengan membantu syarikat baru, perniagaan mikro atau syarikat besar yang berasaskan bio dengan menjadikannya lebih berinovatif melalui penggunaan sains, teknologi dan automasi di dalam operasi perniagaan masing-masing," katanya.
BBA merupakan program bimbingan dan sokongan untuk syarikat pemula serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang berasaskan bio dan bioteknologi, untuk menaik taraf kepakaran mereka ke peringkat lebih tinggi melalui penggunaan teknologi terkini.
Katanya, sejak mula dilaksanakan awal tahun ini, sebanyak 49 syarikat dalam sektor pertanian, perindustrian dan penjagaan kesihatan telah menyertai program tersebut yang dikendalikan Bioeconomy Corporation iaitu agensi di bawah kementeriannya.
Status BioNexus melayakkan syarikat-syarikat terlibat untuk menerima insentif cukai khas, serta kemudahan dan jaminan lain yang dapat membantu pertumbuhan syarikat.