Bangunkan rakyat bermentaliti kelas pertama - Raja Muda Perlis

Bernama
Mac 25, 2023 20:57 MYT
Baginda bertitah aspek pembentukan rakyat bermentaliti kelas pertama itu perlu menjadi agenda penting negara. - Gambar Bernama
SANDAKAN: Membangunkan rakyat bermentaliti kelas pertama perlu diberi keutamaan dalam setiap peringkat organisasi dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju beridentiti sendiri, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah aspek pembentukan rakyat bermentaliti kelas pertama itu perlu menjadi agenda penting negara, dan usaha untuk memupuk mentaliti itu memerlukan segala tindakan secara sistematik dan terarah.
"Dalam hal ini, kita harus membentuk asas yang kukuh bagi menghasilkan sebuah mentaliti kelas pertama. Rakyat bermentaliti kelas pertama ialah rakyat yang berpengetahuan, mampu berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral.
"Kita tidak hanya memandang pembangunan fizikal semata-mata sebagai ukuran kemajuan sesebuah organisasi, tetapi disertai dengan kekayaan mentaliti," titah baginda pada lawatan ke Kapal Auksiliari Tun Azizan dekat sini hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpangkalan di Bukit Keteri, Padang Besar, Perlis, turut bertitah pengawalan perairan dan sempadan negara masih perlu diperkasakan, malah diperketat lagi bagi mengelakkan sebarang bentuk pencerobohan, penyeludupan dan memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.
Titah baginda, semua pasukan keselamatan dan agensi berwajib yang lain di sempadan negara juga dimohon supaya terus mempertingkatkan lagi kawalan dengan penuh berdisplin, cekal dan berintegriti.
Baginda turut melawat kapal auksiliari itu dan kemudiannya, berbuka puasa bersama pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kapal berkenaan.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin yang mengadakan lawatan bersama delegasi kerajaan Perlis ke Sabah menerusi Eksesias Perlis-Sabah (Eks Perbah) bermula semalam hingga Isnin (27 Mac), berkenan meluangkan masa melawat pos keselamatan di beberapa pulau dekat sini.
Baginda berkenan melawat Pulau Libaran, Pulau Bakungan Kecil, Pulau Pamaguan dan Pulau Berhala, dan turut menyampaikan sumbangan kepada anggota keselamatan yang menjalankan operasi di situ.
-- BERNAMA
#TLDM #puasa #ekuatan moral #pembangunan fizikal
;