Bangunkan masyarakat holistik melalui Malaysia MADANI - Tun Juhar
Bernama
Disember 11, 2023 13:15 MYT
Disember 11, 2023 13:15 MYT
KOTA KINABALU: Setiap keluarga tanpa mengira etnik, agama dan budaya perlu terlibat dalam memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat yang holistik melalui konsep Malaysia MADANI, kata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Sehubungan itu, beliau yang juga Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata seluruh rakyat perlu menjiwai konsep Malaysia MADANI cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersifat universal, merentasi sempadan agama dan bangsa.
Beliau berkata Malaysia MADANI juga wajar dijadikan sebagai prinsip utama dalam melaksanakan agenda pembangunan masyarakat dan pembinaan negara.
"Tunjang kepada masyarakat MADANI adalah perpaduan melalui integrasi sosial yang didasarkan pada suatu ikutan hidup, dan menghindarkan diri dari konflik yang mampu menyebabkan perpecahan. Realitinya, konsep 'Keluarga MADANI' amat dekat dengan suasana kehidupan kita di Sabah.
"Walaupun Sabah mempunyai lebih 32 etnik, kita sudah sebati dengan nilai kekeluargaan majmuk, harmoni, keterbukaan dan kebersamaan. Ini menjadikan Sabah negeri contoh mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat di Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen UMS ke-25 di Dewan Canselor UMS di sini hari ini.
Juhar juga meminta agar dengan semangat keluarga MADANI, semua pihak bersama-sama berganding bahu menghindarkan diri dari konflik untuk mengekalkan perpaduan, kestabilan, keamanan dan keharmonian hidup yang telah dikecapi sejak turun temurun.
"Semangat ini jugalah yang perlu kita bawa untuk mewujudkan kesatuan dan kebersamaan seluruh rakyat jelata. Semoga kemakmuran dan kesejahteraan di negara kita dapat dikekalkan buat selama-lamanya," tambahnya.
Sementara itu, Juhar yakin, semua graduan yang bakal menerima skrol masing-masing dapat menjadi modal insan yang bijak dan mempunyai tanggungjawab untuk kemajuan diri, agama, bangsa dan negara.
"Saya juga ingin mengingatkan kepada para graduan agar mengamalkan etika kerja seperti rajin, menepati masa dan sebagainya. Keberadaan graduan dalam masyarakat adalah satu kekuatan, kerana kebijaksanaan graduan akan membawa kepada kemajuan bangsa dan negara," katanya.
-- BERNAMA