Bangunkan Malaysia berlandaskan prinsip Islam - Raja Salman

Bernama
Februari 28, 2017 18:08 MYT
RAJA SALMAN: Malaysia perlulah dibangunkan berlandas prinsip-prinsip Islam dan menjaga Wasatiyyahnya dalam berdakwah. - Gambar fail
Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, berkata Malaysia perlulah dibangunkan berlandas prinsip-prinsip Islam dan menjaga Wasatiyyahnya dalam berdakwah.
Selain itu, cara Islam yang penuh dengan pendamaian dan kasih sayang perlu diamalkan dalam kehidupan harian rakyat pelbagai kaum dan agama negara ini, titah baginda semasa menyampaikan amanat kepada bekas penuntut Malaysia yang belajar di universiti-universiti di Arab Saudi.
Baginda menyampaikan amanat itu dalam bahasa Arab semasa mengadakan pertemuan selama sejam dengan 50 penuntut Arab Saudi yang melanjutkan pengajian di Malaysia dan lapan bekas penuntut Malaysia itu anjuran kerajaan Arab Saudi di sebuah hotel di sini, hari ini.
Presiden Ikatan Alumni Arab Saudi (IAS) Jaafar Salleh berkata Penjaga Dua Kota Suci itu juga berpesan supaya bekas penuntut Malaysia dapat mempraktikkan ilmu yang dipelajari mereka semasa menuntut di Arab Saudi demi memajukan ummah dan masyarakat Islam negara ini.
"Dalam dunia yang penuh cabaran kini, kami selaku Alumni akan berusaha mengotakan amanat itu melalui usaha dakwah demi kelangsungan syiar Islam," kata Jaafar.
"Kami juga berterima kasih dan menghargai jasa Kerajaan Arab Saudi yang sudi membiayai pengajian kami termasuk memberi biasiswa, perbelanjaan harian, makanan, tempat tinggal dan tiket penerbangan pergi balik," kata Jaafar.
BACA: Raja Salman gesa universiti sumbang kepada pembinaan tamadun Islam
BACA: Tambah kuota haji: Malaysia harap khabar gembira daripada Raja Arab Saudi
Beliau berkata Raja Salman juga berpesan kepada para penuntut Arab Saudi supaya menimba ilmu dengan sebaik-baiknya untuk dimanfaatkan bagi kemajuan negara mereka.
Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Kota Bharu, Kelantan Datuk Dr Abdul Basit pula berkata beliau akan melaksanakan amanat Raja Salman dengan mengamalkan cara Islam yang penuh pendamaian dan kasih sayang dalam kehidupan hariannya.
Sebagai bekas penuntut Universiti Islam Madinah, beliau bersyukur mendapat penajaan kerajaan Arab Saudi sepanjang pengajiannya dari 1988 sehingga memperoleh Doktor Falsafah dalam jurusan Syariah pada 2006.
"Dalam pertemuan hari ini, Raja Salman menasihati kami supaya menjaga wasatiyyah di dalam dakwah terutama di negara yang berbilang-bilang kaum dan agama," katanya.
Raja Salman kini dalam rangka lawatan negara empat hari ke Malaysia sejak Ahad atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
-- BERNAMA
#Arab Saudi #IAS #KIAS #Raja Salman
;