Bangunan usang sarang pelacuran

Sinar Harian
September 27, 2018 16:07 MYT
32 wanita warga asing terdiri daripada warga Thailand, Vietnam dan Laos disyaki menjalankan ativiti pelacuran dengan bayaran RM175 telah dicekup.
Bangunan terbiar itu kelihatan seperti hotel lama, namun di dalam premis kotor dan menjijikkan itu tersedia aktiviti pelacuran untuk lelaki berhidung belang.
Kewujudan premis pelacuran di sebalik bangunan stesen bas usang yang terletak di Jalan Tun Ali, di sini, terbongkar dalam serbuan Pasukan Taktikal Khas (Pastak) Jabatan Imigresen Malaysia, jam 8 malam Rabu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, seramai 32 wanita warga asing terdiri daripada warga Thailand, Vietnam dan Laos disyaki menjalankan ativiti pelacuran dengan bayaran RM175 telah dicekup.
Menurutnya, selain itu, turut ditahan adalah dua lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai penyambut tetamu dan pembantu premis serta seorang bapa ayam warga tempatan.
“Secara mata kasar bangunan ini kelihatan tidak lagi beroperasi, tetapi sebenarnya digunakan untuk aktiviti maksiat walaupun keadaan dalam bangunan kelihatan tidak selamat untuk didiami.
“Aktiviti pelacuran ini giat dijalankan di tingkat enam hingga 10 dalam keadaan bangunan kotor, namun tidak menghalang pelanggannya mendapatkan khidmat seks warga asing di tempat berkenaan,” katanya.
Mustafar mendedahkan, mengikut modus operandinya, selain dikawal ketat melalui kamera litar tertutup (CCTV), bayaran perlu dilakukan di kaunter premis sebelum pelanggan dibawa ke tingkat enam oleh wanita warga asing untuk layanan seks.
Katanya, pemeriksaan lanjut telah merampas wang tunai RM20,145.00 dipercayai hasil kutipan aktiviti tidak bermoral ini.
“Kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
#Jabatan Imigresen Malaysia #Ketua Pengarah Imigresen #Mustafar Ali #Pasukan Taktikal Khas Pastak #pelacur #warga asing
;