Bangunan sekolah uzur dimakan anai-anai, pentadbir mohon bangunan baharu
Amirrul Rabbani
Mei 23, 2022 17:40 MYT
Mei 23, 2022 17:40 MYT
KUALA KANGSAR: Walaupun bangunan menempatkan dua bilik darjah dan sebuah dewan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeliang di sini, disahkan tidak selamat kerana semakin reput dimakan anai-anai, pihak sekolah terpaksa terus menggunakannya kerana tiada pilihan.
Guru Besar sekolah berusia 50 tahun itu, Zainal Ariffin Ngah Jamaludin, berkata bilik darjah menempatkan 20 murid itu digunakan dengan berhati-berhati kerana tiada tempat lain dapat digunakan buat masa ini.
Jelasnya lagi, sebelum ini beberapa pembaikan kecil telah dilakukan ke atas beberapa struktur tertentu di bangunan berkenaan, namun ia tidak bertahan lama.
“Apabila pihak kontraktor yang datang dan cuba membetulkan bangunan yang asal ni, dia memaklumkan kepada saya bahawa struktur bangunan terutama di bahagian kerangka atas semakin rosak akibat dimakan anai-anai dan siling pula semakin melendut.
“Kami juga telah menghantar laporan dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melawat dan membuat keputusan bahawa bahagian dewan terpaksa ditutup kerana terlalu berisiko.
“Jadi dua bilik darjah di sebelah terpaksa kami gunakan sementara dengan keadaan siap-siaga. Kami terpaksa memberanikan diri untuk menggunakannya kerana sudah tiada bilik lain yang dapat digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika tinjauan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di sekolah itu, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Zainal Ariffin berkata, setakat ini tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku di bangunan itu mahupun kawasan sekitarnya.
“Setakat ini alhamdulillah, tidak terjadi lagi apa-apa insiden tidak diingini. Akan tetapi janganlah sampai jadi apa-apa pula. Saya amat risau akan keselamatan murid dan warga sekolah,” katanya.
Justeru beliau memohon agar sebuah bangunan baru dapat dibina dengan segera bagi menggantikan bangunan terbabit.
Sementara itu, Saarani berkata, pihaknya akan berbincang dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri untuk menyegerakan permohonan bangunan baharu yang memakan kos RM1.5 juta.
Jelasnya, pihak sekolah telah membuat permohonan tahun lalu yang mana cadangan bangunan baharu dua tingkat di tapak asal itu akan mempunyai sebuah dewan terbuka di aras bawah sementara bilik darjah dan pejabat di tingkat atas.
“Hasil tinjauan saya memang bangunan itu perlu diganti segera. Malah JKR sudah mengesahkan ia tidak selamat. Jadi sudah menjadi tanggungjawab kami untuk melihat perkara ini.
“Saya telah berbincang dengan pegawai pembangunan negeri dan saya sendi akan menghubungi Ketua Pengarah ICU untuk melihat bagaimana kita dapat mencari wang supaya ia dapat disegerakan," katanya.