Bangunan Perkeso Kota Bharu diserang sekumpulan lelaki 'mengamuk'
Bernama
Disember 30, 2019 18:46 MYT
Disember 30, 2019 18:46 MYT
Lebih 250 petugas tiga jabatan kerajaan di bangunan Wisma Perkeso di sini bergegas meninggalkan tempat kerja masing-masing apabila perkhidmatan siar raya meminta mereka segera mengosongkan bangunan itu kerana ada 'serangan oleh empat lelaki yang 'mengamuk'.
Para petugas lari bertempiaran ke medan meletak kereta ketika lima lelaki bersenjatakan kayu mengamuk di lobi Wisma Perkeso pada 10.15 pagi kerana tidak berpuas hati apabila tapak pembinaan tempat mereka bekerja ditutup oleh pihak Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Mereka menyerang kaunter JKKP dan mencederakan petugas dan orang awam. Ketangkasan pengawal keselamatan berjaya menahan tiga lelaki itu, manakala dua lagi naik ke tingkat dua bangunan sebelum ke tingkat lima dan meneruskan amukan.
Bagaimanapun, kedua-dua pekerja terbabit berjaya ditangkap setelah bergelut dengan angota polis yang menunggu di lobi dan perkarangan bangunan.
Perkarangan Wisma Perkeso yang sentiasa tenang, kecoh dengan bunyi hiruk pikuk siren polis dan ambulan yang bersiap sedia.
Situasi cemas yang berlaku hampir satu jam itu bagaimanapun adalah sebahagian daripada latihan keselamatan oleh JKKP dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu , RELA, Pasukan Tindakan Kecemasan JKKP dan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II).
Pengarah JKKP Kelantan Abdul Aziz Salim berkata, latihan ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga menurut seksyen ke 15 Akta Keselamatan dan Kesejahteraan Pekerjaan di mana setiap majikan wajib memastikan tempat kerja mereka selamat dan bebas daripada ancaman keselamatan.
"Alhamdulillah kita berjaya mengosongkan Wisma Perkeso dan menjalankan latihan mengikut SOP yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas latihan itu.
Sementara itu kakitangan yang ditemui menyatakan pada mulanya mereka cemas apabila mendengar pengumuman itu yang mengarahkan semua berkumpul di medan letak kereta.
Hirwan Saringat berkata, mereka pada mulanya tidak menyangka itu adalah latihan kerana terasa seperti ianya benar-benar berlaku.
Beliau mencadangkan agar latihan seperti itu diadakan selalu sebagai persediaan bagi semua kakitangan dalam menghadapi saat cemas. - BERNAMA